suria

Semua Pokok Berisiko Ditebang Esok

Keadaan sebuah van Sekolah Berasrama Penuh Integrasi Batu Rakit yang terlibat dalam kemalangan setelah dihempap dahan pokok (belakang van) ketika melalui Jalan Batu Rakit pada Sabtu. - Bernama

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu mengarahkan penebangan pokok-pokok yang berisiko untuk tumbang dan membahayakan orang ramai meliputi semua daerah di negeri ini, mulai Isnin.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Negeri dan Kesejahteraan Bandar negeri, Datuk Mohd Jidin Shafee berkata keputusan itu susulan kejadian dahan pokok jenis khaya yang tumbang dan menghempap sebuah van dan sebuah kereta yang melalui jalan berhampiran di Mengabang Lekor, Kuala Nerus pada Sabtu.

Ekoran kejadian itu, dua mangsa maut termasuk seorang pelajar tingkatan lima dan tiga lagi mengalami kecederaan.

Mohd Jidin berkata arahan itu telah diputuskan oleh Menteri Besar Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman pada Ahad dan operasi penebangan akan melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) negeri Terengganu, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Jabatan Perhutanan, polis, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan sukarelawan.

“Sudah tiba masanya untuk kita melupakan tentang perasaan sayang terhadap pokok yang telah lama ini kerana ia mungkin mampu mengundang bahaya. Kerja-kerja penebangan akan bermula esok dan ia tidak boleh ditangguhkan kerana kebetulan musim tengkujuh hampir tiba,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media bersama Datuk Bandar Kuala Terengganu Mohd Zulkifli Abu Bakar di Wisma Darul Iman, di sini.

Tambahnya kejadian pada Sabtu juga adalah di luar jangkaan kerana pokok khaya berada dalam kategori yang sukar untuk reput dan patah.

Kawasan Batu Rakit terutama di Jalan Mengabang Lekor, Batu Buruk dan beberapa kawasan lain yang mempunyai pokok besar akan menjadi keutamaan proses penebangan dalam tempoh sebulan dan akan ditanam dengan pokok baharu.

Mohd Jidin turut mengingatkan supaya tiada pihak yang memotong pokok tanpa kebenaran bagi mengelak perkara tidak diingini berlaku kerana keadaan sekeliling biasanya terdapat wayar elektrik dan jalan raya.

Sementara itu, Mohd Zulkifli menjelaskan pokok ru di Batu Buruk juga dikhuatiri membahayakan orang ramai meskipun dilihat masih kukuh namun beberapa kajian yang telah dilakukan didapati berlaku kerosakan pada bahagian dalaman pokok.

Katanya pelbagai pihak juga perlu mengetahui bahawa tindakan menanam pokok terlalu hampir dengan jalan raya adalah satu kesalahan dan membahayakan pengguna. - Bernama

tebang pokok

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Cari Bazar Untuk Deepavali?

Artikel Lain