suria

Kereta Jadi Rumah Lima Beranak

Chean Chung dan pegawai Khasnya, Kamarul Hatta Mohamed Ali meninjau keadaan kereta yang dijadikan rumah oleh keluarga itu.

KUANTAN: Sukar untuk dibayangkan apabila lima sekeluarga di sini terpaksa berhimpit dalam sebuah kereta yang dijadikan ‘rumah’ sementara selepas terpaksa keluar dari rumah sewa sejak dua minggu lalu.

Lebih menyedihkan, tiga anak mereka berusia satu hingga 11 tahun bukan sahaja terpaksa berhimpit dan tak selesa malah kini mengidap sakit mata sejak beberapa hari lalu.

Aktiviti mereka sekeluarga juga menjadi semakin sukar apabila kereta yang diparkir di belakang sebuah bangunan di Lorong Seri Setali 113 di sini tidak dapat dihidupkan apabila baterinya dicuri individu tidak bertanggungjawab.

M Muniandy, 39 dan isterinya S Puspa Rani, 33 sudah berusaha mencari rumah sewa namun kekangan kewangan untuk menyediakan deposit membantutkan usaha mereka itu.

M Muniandy berkata, dia terpaksa keluar dari rumahnya sewanya sebelum ini memandangkan anak pemiliknya akan menetap  dan tinggal di situ.

Katanya, lepas keluar dari rumah itu, dia berusaha mencari rumah sewa, namun gagal dan sementara itu dia sekeluarga tinggal dalam kereta yang diparkir dalam kawasan sebuah stesen minyak di sini.

“Kami tinggal di situ selama seminggu, termasuklah menumpang mandi di tandas stesen minyak berkenaan.

“Saya buat macam-macam kerja termasuk kerja di kedai besi buruk dengan pendapatan tak seberapa, jadi agak terbeban untuk mencari wang deposit untuk rumah sewa. Kalau sewa bulanan saya masih mampu jika tak terlalu tinggi,” katanya.

Dia kini buntu memikirkan nasib keluarganya itu apatah lagi hari esok (hari ini) dia terpaksa ke Kuala Lumpur untuk bekerja sebagai pemotong besi buruk di sebuah kedai.

Muniandy dan isteri buntu memikirkan masa depan masa depan mereka sekeluarga ekoran tiada rumah sempurna untuk berteduh.

Sementara itu, S Puspa Rani berkata, walaupun tinggal dalam kereta, dua anaknya yang belajar di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Jeram di sini tetap ke sekolah kecuali selepas diserang sakit mata.

“Kami tinggal di sini pun sebab mudah nak hantar mereka ke sekolah namun tidak pasti lagi apa yang akan berlaku selepas ini.

“Saya dan suami terpaksa ikat perut demi anak-anak. Pagi hanya bersarapan roti dan hanya makan nasi pada waktu malam demi memastikan anak-anak dapat makan sewaktu di sekolah,” katanya.

Kesulitan kehidupan keluarga itu mendapat perhatian Adun Semambu, Lee Chean Chung apabila beliau turun padang menemui keluarga itu petang semalam.

Menurutnya, dia menerima aduan daripada orang ramai tentang keadaan keluarga itu dan segera menemui mereka untuk membantu.

“Hari ini (semalam) kita akan hantar anak-anak pasangan ini ke klinik untuk rawat sakit mata yang dialami dan selepas itu kita akan tempatkan sementara keluarga ini di sebuah dewan di Bukit Ubi di sini.

“Memandangkan Muniandy terpaksa ke Kuala Lumpur dan esok (hari ini) hujung minggu jadi lebih baik S Puspa Rani dan anak-anak tinggal di sana sementara,” katanya.

Katanya, pihaknya akan mencari jalan bagi menyelesaikan masalah keluarga itu selepas ini.- Sinar Harian




Lorong Seri Setali

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Kes TLDM: Reman Dilanjutkan

Artikel Lain