suria

Murni ‘Wanita Besi’

PETALING JAYA: Seorang wanita bukan sahaja kehilangan dua anaknya tetapi terpaksa menyaksikan seorang lagi anak yang terselamat mengalami kesan melecur teruk.

Malah dia juga terpaksa membesarkan anak-anaknya tanpa bantuan suaminya.

M.Murni J.Muteh, 42 dan anak perempuannya, Elizabeth Elida Edward berdepan kehidupan yang penuh pancaroba selepas kebakaran yang berlaku 13 tahun lalu.

Murni bukan sahaja perlu membuat kerja rencam untuk menyara Elizabeth tetapi terpaksa membesarkan anak perempuannya itu seorang diri selepas suaminya yang juga bekas tentera meninggalkan mereka lapan tahun lalu.

"Kami tinggal berdua sejak itu. Saya melakukan apa sahaja kerja. Saya pernah bekerja sebagai pemandu lori dan memasang lantai jubin," kata wanita berusia 42 tahun itu.

Pada 2012, dia mengalami kecederaan parah apabila motosikal yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan jalan raya.

Dia terpaksa menjalani dua pembedahan utama di bahagian belakang akibat kemalangan itu.

"Doktor beritahu saya tidak boleh lagi melakukan kerja berat seperti memandu lori," katanya.

Hilang punca pendapatan sekelip mata dan mempunyai anak istimewa, Murni enggan membuang masa dengan mengharapkan bantuan orang ramai.

"Ketika Hospital Besar Sarawak amat bermurah hati membekalkan pembalut setiap bulan, tetapi saya masih perlu membelanjakan sekurang-kurangnya ratusan ringgit untuk menampung kos rawatan Elizabeth," katanya.

Selepas kemalangan itu, Murni mendapatkan bayaran pampasan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan membeli sebuah van.

"Saya menggunakan van itu untuk memulakan perniagaan menghantar kanak-kanak di sekitar kawasan kejiranan di Taman Indah Landeh pergi dan balik dari sekolah.

"Ia lebih mudah dan saya boleh meluangkan masa dengan Elizabeth," kata Murni yang tidak menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dia berkata penting untuk Elizabeth hidup berdikari.

"Saya mengajar dia untuk hidup berdikari dan tidak bergantung kepada orang lain. Sebelum dia kata dia tak boleh, saya akan pastikan dia sudah cuba melakukannya terlebih dahulu," kata Murni.

M.Murni J.Muteh

Artikel Berikut

'Girl' Kembali Tersenyum

Artikel Lain