suria

Kebocoran Gas: Syarikat Pemilik Tong Klorin Dipanggil

Polis membuat kawalan keselamatan di sebuah rumah kosong yang menjadi tempat pembuangan tujuh tong gas klorin yang bocor di Kampung Tambak Paya pada Jumaat. fotoBERNAMA

MELAKA: Polis telah memanggil syarikat pemilik tong berisi klorin yang dibuang di Kampung Tambak Paya di sini bagi membantu siasatan kejadian kebocoran gas klorin sehingga menyebabkan lebih 200 penduduk kampung dipindahkan malam Khamis.

Ketua Polis Melaka Datuk Abd Jalil Hassan berkata syarikat tempatan itu telah dikenal pasti identitinya  melalui nombor siri yang terdapat pada tujuh tong berkenaan, bagaimanapun beliau enggan mendedahkan identiti syarikat berkenaan kerana kes masih dalam siasatan.

"Siasatan (bagi mengenal pasti) sama ada ia (tong itu) dibuang syarikat tersebut atau syarikat yang diberi tanggungjawab untuk melupuskan bahan kimia ini, yang dipercayai asid klorin mampat yang digunakan dalam industri berkaitan air.

"Sepatutnya bahan kimia berkenaan dilupuskan di tempat pelupusan yang dikhaskan iaitu di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan dengan kaedah yang telah ditetapkan," katanya kepada pemberita selepas menutup Program Remaja Berwawasan (Summer Camp) Siri 13 Tahun 2017 di Ayer Keroh di sini Jumaat.

Pada Khamis, penduduk kampung itu terpaksa dipindahkan setelah satu daripada tujuh tong berisi klorin itu bocor menyebabkan gas klorin merebak sekitar lingkungan 1km kampung itu dan setakat pagi tadi, 40 orang masih mendapatkan rawatan di Hospital Melaka serta Jasin.

Mengulas lanjut, Abd Jalil berkata pihaknya juga telah mengambil keterangan daripada tiga saksi yang melihat kejadian dua individu memunggah keluar tong berkenaan daripada sebuah lori di kawasan tersebut sebelum melarikan diri antara pukul 2 hingga 5 petang Khamis.

"Saksi melihat satu daripada tong berkenaan mengeluarkan asap kuning sebelum mereka mengalami sesak nafas dan muntah. Mereka yang berusia 25 hingga 35 tahun itu turut dimasukkan ke hospital dan ditempatkan di zon kuning bagi mendapatkan rawatan,"  katanya.

Beliau berkata pihaknya kini sedang giat mengesan dua individu dan lori yang digunakan dalam kejadian pembuangan sisa kimia tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 269/270 Kanun Keseksaan kerana perbuatan cuai atau jahat yang mungkin menyebabkan jangkitan apa-apa penyakit yang berbahaya kepada nyawa.

Katanya pihak industri atau syarikat yang mempunyai kaitan dengan penggunaan bahan kimia digesa memastikan kaedah pelupusan atau pemusnahan bahan tersebut dilakukan dengan betul dan di kawasan yang telah ditetapkan.

Sementara itu, beliau berkata semua 60 penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara di Sekolah Kebangsaan Tampak Paya, Khamis kini telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah kawasan terjejas diisytiharkan selamat oleh Jabatan Kimia serta Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri.

Tinjauan di kawasan tapak pembuangan tujuh tong klorin itu tengah hari tadi mendapati pihak polis dan bomba masih memantau rapat tempat kejadian, namun kawasan larangan masuk telah dikecilkan.

Hujan lebat pagi tadi juga membantu mengurangkan kandungan gas klorin di udara apabila wartawan Bernama di kawasan kejadian mendapati tiada lagi bau gas klorin tengah hari Jumaat, berbanding bau gas yang agak kuat sekitar malam Khamis. - BERNAMA

tong klorin, PDRM

Artikel Sebelum

‘Iron Lady’ Kini Stabil

Artikel Berikut

Artikel Lain