suria

Tidak Tahu Kerugian BNM Menerusi Urus Niaga Forex

Reaksi Daim selepas memberi keterangan pada prosiding Suruhanjaya Siasatan di Istana Kehakiman pada Isnin. fotoBERNAMA

PUTRAJAYA: Bekas Menteri Kewangan Tun Daim Zainuddin memberitahu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat kerugian urus mata wang asing atau forex Bank Negara Malaysia (BNM) bahawa beliau tidak mengetahui kerugian RM772.3 juta pada 1988 dan RM2.259 bilion pada 1989 serta keuntungan RM2.473 bilion pada 1990 yang dialami BNM adalah menerusi aktiviti forex.

Daim,79, yang memegang jawatan Menteri Kewangan pada Julai 1984 hingga Mac 1990 juga menegaskan ini adalah kali pertama beliau mengetahuinya kerana sepanjang tempoh memegang jawatan berkenaan tidak diberi taklimat oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan yang juga Ahli Lembaga BNM ketika itu Tan Sri Clifford Herbert mengenai operasi/perjalanan BNM.

"Tiada sesiapa di BNM memberitahu saya mengenai urus niaga forex yang dijalankan oleh BNM dari tahun 1984 hingga 1990," katanya yang turut menjelaskan bahawa beliau tidak bertanya kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan mengenai hasil mesyuarat yang beliau hadir dengan Lembaga Pengarah BNM kerana lembaga itu yang bertanggungjawab ke atas operasi dan dasar-dasar BNM.

Beliau yang merupakan saksi ke-23 berkata demikian dalam kenyataan saksi yang dibacakannya pada prosiding di Istana Kehakiman, Isnin.

Ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Datuk Suhaimi Ibrahim, beliau menegaskan sekiranya mengetahui berkenaan urus niaga berkenaan sudah pasti tidak akan membiarkan bank pusat itu mengalami kerugian daripada aktiviti urus niaga forex yang dilaksanakannya.

Keterangan Daim itu menimbulkan persoalan kepada panel RCI  dan Pengerusinya Tan Sri Mohd Sidek Hassan  kemudian bertanyakan mengenai tindakan Daim sebagai seorang Menteri Kewangan yang tidak mengambil tanggungjawab mengenai aktiviti dilaksanakan oleh BNM sedangkan peruntukan Ordinan Bank Pusat 1958 turut menggunakan perkataan mandatori bahawa seseorang menteri kewangan hendaklah diberitahu mengenai urusan perjalanan bank pusat berkenaan.

"Hairan ya, orang ketiga dalam Audit Negara pun tahu mengenai perkara ini dan mengambil langkah untuk mendapatkan maklumat lanjut. Tetapi dalam kes anda (Daim), kamu tidak tahu dan tidak mahu ambil tahu lah ya?" kata Mohd Sidek.

Daim berkata walaupun BNM adalah sebahagian daripada kerajaan tetapi organisasi itu bebas dari segi operasi kerana Lembaga Pengarah BNM yang bertanggungjawab ke atas operasi bank pusat tersebut.

"Sebagai Menteri Kewangan saya juga tidak mempunyai obligasi untuk memantau operasi/perjalanan BNM kerana ia bebas dari segi kawalan dan operasi," katanya yang menjelaskan bahawa beliau juga tidak mengetahui bentuk urus niaga forex yang dilaksanakan oleh BNM.

Katanya, beliau juga tidak mengetahui BNM terlibat secara aktif dalam urus niaga forex pada 1988 dengan jumlah urus niaga yang signifikan serta tidak diberitahu mengenai kerugian yang dialami oleh BNM dalam urus niaga forex pada tahun 1988 dan 1989.

"Saya tidak dapat menjawab persoalan sama ada urus niaga yang dijalankan oleh BNM pada tahun-tahun berkenaan untuk mengekalkan kestabilan Ringgit Malaysia atau bagi maksud 'trading' untuk keuntungan," katanya yang menjelaskan beliau juga tidak mengetahui sebarang perubahan dalam polisi BNM berhubung urus niaga forex mulai tahun 1988.

Beliau berkata sebagai Menteri Kewangan beliau juga tidak tahu siapa yang bertanggungjawab melaksanakan urus niaga forex di BNM dan tidak mempunyai pengetahuan berkenaan surat daripada Ketua Audit Negara bertarikh 23 dan 31 Januari 1990 bertajuk 'Forex Trading By Bank Negara' yang dialamatkan kepada Peguam Negara Malaysia.

"Saya tidak mempunyai pengetahuan mengenai surat daripada BNM bertarikh 9 Feb 1990 yang ditandatangani Tan Sri Nor Mohamed Yakcop kepada Jabatan Peguam Negara bertajuk 'Foreign Exchange Transactions By Bank Negara Malaysia', serta surat bertarikh 21 Februari 1990 kepada Ketua Audit Negara dan Gabenor BNM bertajuk 'Forex Trading By Bank Negara'," katanya.

Selain itu katanya Gabenor Bank Negara ketika itu Tan Sri Jaffar Hussein memberi taklimat kepadanya setiap tahun sebelum pembentangan belanjawan di Parlimen tentang keadaan ekonomi dalam negara dan luar negara serta cadangan BNM untuk pertimbangannya sebagai Menteri Kewangan.

"Saya tidak mentaklimatkan kepada perdana menteri dan jemaah menteri ketika itu mengenai operasi/perjalanan BNM, jemaah menteri hanya menerima penyata kewangan tahunan BNM yang telah diaudit," katanya.

Prosiding awam itu dipengerusikan oleh Mohd Sidek yang juga Pengerusi Petronas dibantu oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Kamaludin Md Said dan CEO Bursa Malaysia Berhad  Datuk Seri Tajuddin Atan, Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) Tan Sri Saw Choo Boon dan anggota Institut Perakaunan Negara K. Puspanathan. - BERNAMA

forex, BNM, Tun Daim Zainuddin

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain