suria

Tragedi Pondok Pak Ya Berulang

Keadaan asrama yang masih tinggal dalam tragedi sehingga mengorbankan 27 nyawa.

KUALA LUMPUR: Insiden kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Jalan Keramat Ujung di sini awal pagi Khamis yang mengorbankan 23 orang termasuk dua guru agama merupakan kes kedua terbesar yang pernah berlaku melibatkan sekolah agama.

Insiden malang yang sama pernah menggemparkan negara 28 tahun lalu di Sekolah Agama Rakyat Taufiqiah Al-Khairiah Al-Halimiah atau lebih dikenali sebagai Pondok Pak Ya di Kampung Padang Lumut, Yan, Kedah.

Dalam kejadian awal pagi Jumaat 22 September 1989 itu, seramai 27 pelajar perempuan sekolah tersebut maut dalam keadaan yang sungguh tragis apabila lapan buah asrama yang dihuni mereka terbakar.

Peristiwa yang mencatatkan sejarah hitam itu difahamkan berlaku ketika penghuni asrama yang majoritinya berusia antara 13 hingga 18 tahun sedang nyenyak tidur.

Siasatan yang dijalankan pihak berkuasa mendapati kebakaran berpunca daripada lilin yang dibakar oleh pelajar untuk mengulang kaji pelajaran yang tidak dipadam dan terjatuh serta membakar tilam hingga  menyebabkan api marak dan tidak dapat dikawal.

Kejadian itu juga telah menimbulkan persoalan pelbagai pihak tentang penggunaan tilam yang diperbuat daripada bahan ‘polyurethane foam’ berikutan kebanyakan mangsa dijumpai mati di atas dan berhampiran tilam jenis itu.

Semua jenazah dikebumikan di tanah perkuburan khas ‘27 Syuhada Peristiwa Kebakaran Pondok Pak Ya’ yang terletak berhampiran lokasi kejadian.

Kisah duka yang pastinya tidak mungkin dilupakan oleh ahli keluarga mangsa yang terkorban turut mendapat perhatian beberapa stesen televisyen untuk mengimbau semula kejadian yang berlaku  dalam bentuk dokumentari dan telefilem.

Pada 2011 Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah menayangkan sebuah dokumentari dalam program bersiri Syahadah berjudul 'Pondok Pak Ya, Kedah’ dibawah kelolaan penerbit berpengalaman Ramlee  Johari yang menyentuh mengenai penubuhan dan perkembangan terkini sekolah tersebut.

Dokumentari berdurasi 30 minit itu juga turut mengupas kejadian malang yang menimpa pelajar  sekolah itu dengan menampilkan beberapa saksi, bekas pelajar dan mangsa yang terselamat daripada insiden tersebut.

Astro juga telah menayangkan sebuah telefilem berjudul 'Pondok Pak Ya' arahan Wan Hasliza berdasarkan kisah benar yang berlaku itu pada 2014.

Telefilem itu juga memuatkan beberapa fakta mengenai kebakaran sekolah tersebut dan anak saudara kepada salah seorang mangsa kejadian turut berlakon dengan memegang watak ibu saudaranya. – Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain