suria

Guan Eng:SPRM Mohon Peguam Negara Ambil Tindakan

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menghantar permohonan ke Pejabat Peguam Negara bagi mendapatkan persetujuan untuk mengambil tindakan terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng yang enggan memohon maaf atas kenyataannya berunsur fitnah.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Dzulkifli Ahmad berkata permohonan itu dibuat  hari ini memandangkan sebarang tindakan sivil yang ingin diambil perlu dirujuk kepada Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali terlebih dahulu.

"Kami di peringkat tertinggi SPRM memang telah bersetuju untuk mengambil tindakan terhadap dia (Guan Eng)... berhubung sikap dia (Guan Eng) (enggan memohon maaf), saya tidak mahu ulas," katanya kepada pemberita selepas Majlis Tamat Latihan Kursus Asas Pegawai SPRM di Pusat Latihan Polis Kuala Lumpur di sini.

Turut hadir Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Azam Baki dan Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pengurusan dan Profesionalisme) Datuk Seri Mohd Jamidan Abdullah.

Pada 25 Ogos lalu, SPRM memberi Guan Eng tempoh 48 jam untuk memohon maaf secara terbuka tanpa syarat kepada suruhanjaya itu atau berdepan tindakan undang-undang susulan kenyataannya bahawa  penahanan Exco Kerajaan Negeri, Phee Boon Poh sebagai  “penahanan haram oleh SPRM” menerusi satu kenyataan pada 5 September lepas menegaskan bahawa ia menghormati hak serta kebebasan mana-mana pihak untuk mengkritik tetapi tidak akan sama sekali bertolak ansur jika mereka didapati mengeluarkan kenyataan fitnah khususnya berhubung siasatan yang sedang dijalankan oleh SPRM dengan tujuan mencemarkan serta menjejaskan imej dan reputasi SPRM.

Sementara itu, Dzulkifli berkata pihaknya memerlukan lebih ramai anggota bagi memerangi rasuah dan salah guna kuasa di kalangan penjawat awam dan sektor swasta.

Menurutnya setakat ini pihaknya hanya mempunyai 2,100 pegawai dan anggota di seluruh negara.  "SPRM dijanjikan 5,000 pegawai pada 2008 tetapi disebabkan kekurangan bajet ia tidak dapat dilaksanakan.

"Oleh itu, SPRM sedang berusaha dengan kerajaan untuk tambah pengambilan pegawai dan anggota SPRM," kata Dzulkifli.

Pada majlis itu, seramai 223 kadet dan pegawai SPRM berjaya menamatkan kursus asas selama sembilan bulan yang dilaksanakan bertujuan melahirkan pegawai SPRM yang patuh kepada agama, peraturan negara dan organisasi.-- Bernama

Guan Eng, SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Najib Enggan Bicara Tarikh PRU-14

Artikel Lain