suria

'DM424' Hadiah Mufti Perlis

Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

PETALING JAYA: Ramai yang ingin mendapatkan nombor pendaftaran kenderaan tertentu kerana mempunyai signifikan nama masing-masing sehingga ada yang sanggup membidanya pada harga tinggi.

Namun rezeki buat Mufti Perlis apabila seorang sahabatnya sudi menghadiahkan beliau nombor pendaftaran kenderaan DM424 yang mempunyai signifikan dengan panggilan namanya, DMAZA.

Rezekinya berlipat kali ganda apabila beliau turut dihadiahkan dengan sebuah motosikal.

Jadi, tidak hairanlah mengapa Prof. Madya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin memuat naik gambar beliau yang segak bergaya dalam posisi menunggang sebuah motosikal di halaman Facebooknya pada Rabu.

“Terima kasih buat sahabat saya orang Kelantan yang menghadiahkan number plat ini (DM424 = DMAZA) bersama motosikal ini untuk diletakkan nombor berkenaan.

“Susah payah mereka mencari dan memberikan kepada saya. Barakallahu fikum,” menurut Dr Mohd Asri yang lebih dikenali sebagai Dr Maza di laman sosial.

Dr Maza menerima hadiah sebuah motosikal dengan nombor pendaftaran DM424. Foto Facebook drmaza.com

Dr Maza berkata, motosikal dengan nombor pendaftaran DM424 itu telah digunakan untuk menyertai kembara mencari asnaf bersama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

“Setakat ini belum ada kereta untuk diletakkan nombor ini, biarlah motosikal dahulu memakainya. Jika ada rezeki, suatu hari insyaAllah,” tambah Dr Maza.

Awal bulan lalu, beliau menyertai program Raja Muda mengayuh basikal mencari asnaf di kampung-kampung untuk diberikan bantuan, dan dengan cara itu beliau dapat melihat sendiri kehidupan mereka. 

Dalam kunjungan itu juga kebanyakan asnaf mengadu tiada wang untuk membeli keperluan dapur termasuk beras.

Dilaporkan, Dr Maza pernah menegur sikap segelintir asnaf di negeri berkenaan yang malas dan enggan bekerja untuk mengubah kehidupan mereka.

“Yang saya kesal ialah semasa menerima sumbangan daripada Raja Muda, ada antara asnaf mempunyai kotak rokok dalam poket baju.

"Kalau mampu beli sekotak rokok bernilai RM15 atau RM17 tetapi tidak boleh membeli sekampit kecil beras hanya berharga RM13, mereka tidak layak dikategorikan sebagai asnaf," tambahnya.

Sehubungan itu, Dr MaZA berharap asnaf-asnaf di Perlis segera mengubah sikap dan berusaha keras meningkatkan taraf hidup mereka sekeluarga dengan melakukan apa sahaja pekerjaan yang memberi hasil.

Dr Maza

Artikel Sebelum

Lelaki Melayang Dirempuh Motosikal

Artikel Berikut

Murid Autisme Wakili Negara

Artikel Lain