suria

Zeti Ketahui Kerugian Forex BNM Di London

Zeti Akhtar Aziz.

PUTRAJAYA: Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Zeti Akhtar Aziz berkata, beliau mengetahui mengenai kerugian urus niaga mata wang asing atau forex bank pusat itu pada mesyuarat dengan para pegawai kanan bank di London.

Zeti, 70, berkata, Gabenor BNM ketika itu Allahyarham Tan Sri Jaffar Hussein diberitahu semasa mesyuarat itu mengenai pendedahan meluas terhadap BNM hasil daripada transaksi tukaran asing.

Beliau hadir pada mesyuarat di London Apartment, London pada 1992 di mana Jaffar menginap dan Penolong Gabenor ketika itu Datuk Abdul Murad Khalid memberitahu Jaffar mengenainya.

"Datuk Abdul Murad memberitahu Jaffar mengenai pendedahan meluas terhadap Bank Negara Malaysia akibat daripada transaksi tukaran asing. Seingat saya Abdul Murad tidak mempunyai butiran mengenai transaksi tukaran asing itu," katanya.

Zeti berkata, turut hadir pada mesyuarat itu ialah Dr Awang Adek Hussin (ketika itu pegawai kanan BNM).

"Jaffar memberi respons dengan berkata ia mungkin kedudukan kasar yang diketahui oleh pihak berdagang dengan BNM. Pihak yang berdagang itu tidak akan mengetahui kedudukan bersih BNM dan beliau berpendapat kedudukan bersihnya jauh lebih rendah daripada itu," katanya.

Zeti, merupakan saksi ke-16 yang memberi keterangan pada prosiding hari kelima Suruhanjaya Siasatan (RCI) untuk menyiasat kes kerugian forex BNM sekitar tahun 1990-an.

Beliau mengetahui mengenai kerugian forex yang dialami BNM antara tahun 1988 dan 1994 apabila timbul berita mengenai kebimbangan serius terhadap pengurusan rizab BNM.

Katanya, ketika itu beliau masih bertugas di pejabat di London dan beliau melapor diri kepada Pengarah dan Penasihat Jabatan Perbankan, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

"Oleh itu saya menghubungi seorang pegawai kanan BNM untuk mengetahui apa yang berlaku dan diberitahu bahawa BNM mengalami kerugian ketara daripada aktiviti pengurusan rizab.

Beliau memberitahu RCI bahawa sebagai Timbalan Gabenor BNM pada 2007, beliau telah mengarahkan bekas Pengurus Akaun BNM Abdul Aziz Manaf supaya menyediakan satu laporan mengenai pengendalian perakaunan untuk pengurusan rizab bagi tahun 1988 hingga 1994 dan laporan itu diserahkan kepada beliau.

Zeti berkata, beliau memberikan arahan itu kepada Abdul Aziz atas sebab ketika itu BNM sedang menyediakan draf Akta baharu untuk menggantikan Akta Bank Negara Malaysia 1958 dan persediaan bagi Akta baharu itu yang bermula pada 2007 ialah dengan memberikan penjelasan mengenai mandat pengurusan rizab termasuk pengendalian perakaunan.

Beliau berkata, terdapat juga perubahan yang dilakukan terhadap pengendalian perakaunan itu bila berdepan dengan keuntungan dan kerugian yang timbul daripada pengurusan rizab yang diperlukan untuk memberikan pemahaman lebih jelas.

Zeti juga berkata, BNM mengambil langkah untuk mempelbagai komposisi rizab dan memperkenalkan sistem pengurusan risiko yang ketat dan mantap sambil menambah kata perkara itu memerlukan pengetahuan mengenai pengendalian perakaunan berhubung transaksi rizab supaya ia boleh dipantau dan risikonya boleh dinilai dan diurus dengan betul.

Semasa membaca kenyataannya, Zeti berkata, berdasarkan maklumat dalam laporan "Accounting Treatment 1988-1984” bertarikh 18 April 2007, jumlah kerugian ialah RM32.074 bilion selepas mengambi kira keuntungan RM2.473 bilion bagi tahun 1990.

Zeti berkata, Jaffar mengambil tanggungjawab ke atas kerugian forex itu dengan cara terhormat dan meletakkan jawatan.

Gabenor perlu mengambil tanggungjawab penuh terhadap semua perkara yang berlaku, seperti juga dalam sesebuah bank perdagangan, dan jika sesuatu berlaku, sama ada (seseorang itu) mengetahuinya atau tidak, beliau perlu bertanggungjawab, katanya.

Zeti berkata peranan kedua-dua lembaga pengarah dan pengurusan juga amat  penting dalam institusi perbankan dan kewangan. - Bernama

forex

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Tiada Cadangan Kotak Rokok Mini

Artikel Lain