suria

RM800,000 Lesap Dilarikan Penjenayah

KUALA LUMPUR: Empat penjenayah melarikan beg berisi wang tunai berjumlah RM800,000 dari sebuah van syarikat kawalan keselamatan di sebuah stesen minyak di Bukit Antarabangsa di sini, petang Rabu.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata insiden berlaku kira-kira pukul 5 petang Rabu.

"Empat pengawal keselamatan tiba di stesen minyak untuk memasukkan wang ke dalam mesin ATM dalam premis berkenaan sebelum didatangi suspek yang menunggang dua motosikal.

"Salah seorang suspek yang dipercayai bersenjatakan pistol melepaskan satu das tembakan ke udara sebelum merampas selaras pump gun daripada seorang petugas syarikat kawalan keselamatan.

"Penjenayah kemudian memaksa pengawal keselamatan itu untuk menyerahkan dua beg berisi wang yang disimpan di dalam van," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Hamzah berkata pengawal keselamatan itu mengalami kecederaan di kepala akibat dihentak dengan pump gun yang dirampas suspek.

"Suspek kemudiannya melarikan diri selepas memperoleh wang tersebut dan mencampakkan pump gun di tepi jalan.

"Pengawal keselamatan itu menerima rawatan pesakit luar di Hospital Ampang," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dan Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971.

Hamzah berkata suspek menggunakan dua motosikal jenis Yamaha 125z berwarna biru dan memakai topi keledar bertutup penuh.

Pada masa sama, beliau menggesa sesiapa yang mempunyai maklumat kes itu supaya menghubungi polis di talian 03-2052 9999 atau pergi ke balai polis berhampiran.

ATM, rompakan

Artikel Sebelum

Tiada Cadangan Kotak Rokok Mini

Artikel Berikut

Artikel Lain