suria

Polis Siasat Kes Bendera Indonesia Dicetak Terbalik

KUALA LUMPUR: Polis sedang siasat dari semua sudut termasuk unsur-unsur sabotaj berhubung kes kesilapan bendera Indonesia yang dicetak terbalik dalam buku cenderahati upacara pembukaan temasya Sukan SEA Kuala Lumpur (KL2017).

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan pihaknya telah menerima beberapa laporan berhubung kes tersebut.

“Ya, kami ada terima laporan polis berhubung isu ini dan biar kami selesaikan siasatan terlebih dahulu sebelum membuat tindakan seterusnya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Modul Peningkatan Integriti My Psikologi Spiritual (MyPs) Tahun 2017 di Bukit Aman, di sini.

Pada Ahad, Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menyampaikan permohonan maaf  bagi pihak Malaysia selaku tuan rumah KL2017 kepada seluruh rakyat Indonesia atas kesilapan melibatkan bendera negara itu kepada Menteri Pemuda dan Olahraga Indonesia, Imam Nahrawi, di sini.

Terdahulu, Imam Nahrawi menyatakan kekesalan berhubung perkara itu melalui akaun Twitter beliau  yang kemudian dibalas Khairy juga melalui Twitter dengan permohonan maaf selain menegaskan kesilapan itu tidak disengajakan.

Diminta mengulas mengenai tahap keselamatan sepanjang temasya itu berlangsung, Khalid berkata setakat ini semua dalam keadaan terkawal dan tahap keselamatan sentiasa ditingkatkan dari semasa ke semasa.

Terdahulu, Khalid  melancarkan Modul MyPSc yang merupakan manifestasi komitmen Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk meningkatkan nilai-nilai integriti warga PDRM.

Beliau berkata modul berkenaan dilihat sebagai usaha berterusan Jabatan Intergriti Pematuhan Standard PDRM yang memberi penekanan aspek psikologi dan spritual kepada warga PDRM.

"Saya difahamkan, edisi pertama modul MyPS telah dicetak sebanyak 1,050 naskah dan akan diedarkan di seluruh kontinjen serta formasi PDRM yang mempunyai pegawai psikologi ataupun pegawai Hal Ehwal Islam," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim dan Pengarah Cawangan Khas Bukit Aman Datuk Seri Mohamad Fuzi Harun. - BERNAMA

bendera Indonesia, PDRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain