suria

Dua Maut Termasuk Pelajar Tingkatan Tiga

Gambar hiasan.

KEPALA BATAS: Dua remaja termasuk seorang pelajar perempuan tingkatan tiga maut selepas kereta yang dinaiki bersama empat lagi rakan mereka terbabas sebelum merempuh sebuah kereta di Jalan Penaga, di sini awal pagi Khamis.

Mangsa yang maut ialah remaja lelaki, yang merupakan pemandu kereta itu Nuur Alihadi Syuhibbulaswa Mohd Sofian,19, dan penumpang hadapan Mimi Mariam Abdullah,15, selepas tersepit dalam kemalangan kira-kira 3.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Azmi Adam berkata kemalangan itu turut menyebabkan penumpang belakang dalam kereta Proton Iswara berkenaan iaitu empat lelaki berusia 16 hingga 20 tahun mengalami kecederaan.

"Kereta dinaiki enam remaja itu dari arah Penaga menuju ke Telok Air Tawar dipercayai hilang kawalan lalu terbabas sebelum melanggar sebatang pokok yang terdapat di kiri jalan.

"Pemandu dan penumpang hadapan kereta itu meninggal dunia di tempat kejadian kerana mengalami kecederaan parah di kepala selepas tersepit," katanya di sini Khamis.

Beliau berkata mayat mereka dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk dibedah siasat manakala empat yang cedera dihantar ke hospital yang sama untuk rawatan.

Azmi berkata siasatan lanjut masih dijalankan dan kemalangan itu disiasat mengikut Sekyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, jurucakap Pusat Gerakan Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang berkata lapan anggota bersama satu jentera tiba di lokasi pada 3.44 pagi bagi membantu mengeluarkan  mangsa.

Menurutnya sebaik tiba pihak bomba mendapati terdapat enam mangsa di dalam kereta yang remuk teruk di bahagian hadapan akibat terbabas dan melanggar pokok di tepi jalan.

"Bomba mengambil masa kira-kira sejam bagi mengeluarkan semua mangsa yang tersepit," katanya. - BERNAMA

kemalangan

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain