suria

Satu Lorong Jambatan P.Pinang Ditutup Setahun

GEORGE TOWN: Jambatan Pulau Pinang akan melaksanakan penutupan lorong dan lencongan trafik selama setahun bermula 22 Ogos ini bagi membolehkan kerja-kerja pemeriksaan serta penyelanggaraan jambatan dijalankan.

Ketua Pegawai Operasi PLUS Malaysia Berhad (PLUS) Mohammad Fuad Khusairi berkata penutupan itu juga merupakan sebahagian daripada prosedur dalam pemeriksaan bagi memastikan struktur kabel Jambatan Pulau Pinang berada dalam tahap terbaik.

"Kerja-kerja pemeriksaan dan penyelenggaran itu memang dijalankan secara berkala iaitu setiap empat tahun dan ia dibuat secara menyeluruh bagi memastikan struktur kabel Jambatan Pulau Pinang berada pada tahap yang terbaik untuk keselamatan orang ramai.

"Kabel merupakan elemen utama di Jambatan Pulau Pinang dan perlu diperiksa secara menyeluruh dalam jangka masa tertentu mengikut jadual bagi mengesan sebarang kerosakan kerana ia (kabel) terdedah kepada hujan, panas serta gegaran," katanya pada sidang media pada Rabu.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan negeri Lim Hock Seng.

Mohammad Fuad berkata bagi membolehkan kerja-kerja komprehensif  itu dijalankan, pihaknya akan membuat penutupan satu lorong bagi setiap laluan di atas Jambatan Pulau Pinang berkenaan dan lencongan jalan.

Beliau berkata bagi enam bulan pertama bermula 22 Ogos ini, satu lorong untuk laluan menghala Pulau ke Seberang Perai akan ditutup dan enam bulan berikutnya pula dari Seberang Perai ke pulau, namun pihaknya akan membuka lencongan kepada kenderaan ketika waktu puncak dalam usaha mengurangkan kesesakkan lalu lintas.

"Sebagai contoh, ketika penutupan satu lorong menghala ke Seberang Perai kami akan membuka jalan lencongan di laluan bertentangan iaitu (laluan) menghala ke pulau supaya kenderaan ke tanah besar boleh menggunakan lencongan itu semasa waktu puncak antara pukul 4 petang hingga 8 malam kerana orang ramai balik dari kerja.

"Bagi penutupan satu lorong menghala ke sebelah pulau, satu lencongan di laluan bertentangan juga akan dibuka ketika waktu puncak antara pukul 6 pagi hingga 10 pagi. Sebanyak 82,000 kenderaan menggunakan Jambatan Pulau Pinang setiap hari dan semasa waktu puncak kira-kira 40,000," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga akan membuka lencongan di laluan bertentangan jika terdapat kemalangan hingga berlaku kesesakan teruk.

Mohammad Fuad berkata PLUS menasihatkan pengguna Jambatan Pulau Pinang supaya merancang perjalanan mereka sepanjang tempoh kerja penyelenggaran itu dan sebagai alternatif mereka boleh menggunakan Jambatan Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah atau perkhidmatan feri.

"Kami akan menempatkan petugas untuk menjaga di laluan yang terlibat dan pengguna dinasihat mematuhi arahan lalu lintas. PLUS turut menasihatkan pengguna Jambatan Pulau Pinang supaya mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi laman Twitter PLUSTrafik, aplikasi Plus Mobole App atau aplikasi Waze atau Google Map," katanya.-Bernama

Janbatan P.Pinang

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain