suria

Malaysia Tak Import Telur Eropah

- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Malaysia tidak mengimport telur ayam dari Eropah yang didakwa tercemar dengan bahan kimia fipronil seperti yang disiarkan oleh media baru-baru ini, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Dalam satu kenyataan pada Isnin, beliau berkata pihak delegasi Kesatuan Eropah ke Malaysia turut mengesahkan bahawa tiada telur atau hasilan telur dari negara Eropah dieksport ke negara ini.

"KKM sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara-perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

"Sekiranya pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, sila hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my atau Facebook Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq," katanya.

Beliau merujuk beberapa laporan media berhubung isu telur ayam tercemar dengan bahan kimia fipronil di Belanda baru-baru ini.

Susulan isu itu, Jerman, Belgium, Sweden dan Switzerland menarik balik berjuta-juta telur daripada pasaran selepas fipronil dikesan pada produk berkenaan.

Dr Noor Hisham berkata Seksyen 13 Akta Makanan 1983 memperuntukkan mana-mana pihak yang terlibat mengimport, mengedar, menyimpan atau menjual makanan yang ada dalam atau padanya apa-apa bahan yang beracun, merosakkan atau selainnya memudaratkan kesihatan termasuk telur ayam yang mengandungi fipronil adalah melakukan kesalahan.

Pihak yang disabitkan kesalahan itu boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Fipronil adalah sejenis racun serangga yang biasanya digunakan ke atas haiwan untuk mengatasi masalah kutu dan hama.

Pengambilan fibronil pada paras tinggi dalam jangka masa pendek boleh menyebabkan berpeluh, loya, muntah, sakit kepala, sakit perut, pening, resah, lemah dan kekejangan.

Sehingga kini, tiada bukti menunjukkan kesan kronik dan karsinogenik pengambilan fipronil kepada manusia.

-Bernama
telur Eropah, fipronil

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain