suria

Tunku Aminah Sah Bergelar Isteri Dennis Muhammad

JOHOR BAHRU: Puteri tunggal Sultan Johor, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Ibrahim pada Isnin sah bergelar isteri kepada Dennis Muhammad Abdullah dengan sekali lafaz dalam bahasa Melayu pada Istiadat Akad Nikah yang berlangsung di Istana Bukit Serene, di sini.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan pejabat media dan komunikasi rasmi keluarga diraja Johor, Royal Press Office (RPO) kepada media, pasangan diraja itu dinikahkan oleh Mufti Negeri Johor Datuk Mohd Tahrir Kiyai Samsudin yang diperkenankan oleh Sultan Johor menjadi wakil rasmi baginda di majlis tersebut.

Pada majlis pernikahan itu juga, keluarga pengantin perempuan yang diwakili Yang Dipertua Jumaah Majlis DiRaja Johor Datuk Abdul Rahim Ramli menyerahkan sembilan dulang hantaran berbalas tujuh dulang daripada pengantin lelaki yang diwakili bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Johor Datuk Ismail Karim.

Keluarga pengantin perempuan dan lelaki bertukar hantaran yang dibawa masuk oleh anggota Askar Timbalan Setia Negeri (ATSN).

Hadiah yang disampaikan keluarga diraja Johor kepada pengantin lelaki merangkumi cincin emas, al-Quran, sejadah, persalinan baju melayu teluk belanga dan sampin, sirih junjung, kek, bunga rampai dan halwa maskat.


Istiadat pernikahan yang menyusul sejurus selepas istiadat pertunangan dan majlis hantaran itu disaksikan Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Sultan Idris Shah serta anggotai keluarga dan rakan terdekat.

Berangkat sama Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim dan isteri Che' Puan Khaleeda Bustamam; Tunku Temenggong Tunku Idris Iskandar Al-Haj; Tunku Panglima Tunku Abdul Rahman Al-Haj dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.

Hadir sama, ibu bapa pengantin lelaki Martin dan Henriette Verbaas, anggota keluarga dan rakan terdekatnya dari Belanda.


Pengantin lelaki kemudiannya dibawa ke bilik tingkat atas bagi menyempurnakan Istiadat Menyarung Cincin yang menyaksikan Dennis Muhammad kemudian menyarungkan cincin perkahwinan di jari manis tangan kanan Tunku Tun Aminah serta memberikannya mas kahwin sebanyak RM22.50.

Pasangan diraja yang kelihatan anggun dan tampan mengenakan busana tradisional Johor, baju kurung teluk belanga dan baju melayu teluk belanga serba putih itu kemudian turun ke bawah sebelum mencium tangan ibu bapa masing-masing dan juga anggota keluarga yang lain.

Dennis Muhammad juga mengenakan songkok dengan dua keronsang yang sama digunakan oleh Almarhum Sultan Iskandar pada hari perkahwinannya, yang diberikan oleh bondanya, Sultanah Aminah Ungku Ahmad.

Istiadat berlangsung dengan menampilkan segala keunikan, kekayaan warisan serta tradisi dan adat istiadat diraja Johor.

Pada sebelah malam, pasangan diraja itu akan diraikan dalam Istiadat Persandingan di Bilik Singgahsana Istana Besar Johor Bahru.

Kira-kira 1,200 tetamu akan menghadiri majlis ringkas tapi penuh bermakna itu yang akan turut dipancarkan secara langsung kepada orang ramai menerusi skrin digital gergasi, ditempatkan di Dataran Bandaraya dan bangunan Majlis Bandaraya Johor Bahru. - BERNAMA

Tunku Aminah, Dennis Muhammad

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain