suria

Mahkamah Benar Pembatalan Reman Boon Poh

GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi Pulau Pinang membenarkan permohonan semakan semula untuk pembatalan reman lima hari ke atas Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan dua anak beranak yang juga pengurus dan pengarah kilang haram di Penanti.

Kebenaran itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Datuk Abdul Wahab Mohamed selepas meneliti hujah dari kedua-dua pihak selama 30 minit pada Isnin.

Beliau berkata, perintah reman yang dikeluarkan terhadap Boon Poh dan dua lelaki tersebut  melanggar Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Terdahulu, Boon Poh didapati menitiskan air mata ketika melihat kehadiran ahli keluarganya di mahkamah.

Beliau yang berpakaian lokap Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tiba di mahkamah kira-kira pukul 10.45 pagi Isnin bagi menyerahkan permohonan mencabar keputusan reman lima hari ke atasnya melalui dua peguamnya.

Dengan keadaan tangan bergari, Boon Poh sempat berbual dengan ahli keluarganya dan Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Jumaat lalu, Boon Poh yang juga Adun Sungai Puyu ditahan SPRM kira-kira pukul 3 petang ketika sedang memberi keterangan berhubung isu sebuah kilang haram memproses abu kayu di Kampung Sungai Lembu, Permatang Pauh yang beroperasi lebih dari 10 tahun.

Pada 12 Ogos lalu, Boon Poh direman selama lima hari bagi membantu siasatan berhu­bung serbuan ke atas sebuah kilang haram di Kampung Sungai Lembu, Penanti dekat sini.

Perintah reman sehingga 16 Ogos ini dikeluarkan oleh­ Penolong Pendaf­tar, Ameera Mastura Khamis selepas SPRM mengemukakan permohonan di Mahkamah Majistret di sini. - Sinar Online

Phee Boon Poh, SPRM

Artikel Lain