suria

Pelajar Maut Jatuh Balkoni Ketika Merokok

Mangsa merokok di balkoni kerana dilarang berbuat demikian di dalam bilik yang mempunyai pendingin hawa.

KAMPAR: Gara-gara mahu menghisap rokok, seorang pelajar sekolah maut selepas terjatuh dari balkoni sebuah hotel di sini awal pagi Sabtu.

Hon Seong Yan, 17, dari Taman Bukit Desa, Kuala Lumpur ditemui dalam keadaan berlumuran darah di lobi hotel oleh rakan-rakannya kira-kira pukul 1.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Kampar, Supt Ng Kong Soon berkata kejadian dipercayai berlaku apabila mangsa yang menyertai satu seminar keagamaan bersama 42 pelajar Kolej University Group Petaling Jaya, Selangor mahu menghisap rokok.

"Mangsa memberitahu seorang pensyarah yang menguruskan seminar itu yang dia mahu ke balkoni untuk menghisap rokok kerana dilarang berbuat demikian di dalam bilik yang mempunyai pendingin hawa.

"Pensyarah tersebut kemudiannya keluar dari bilik itu untuk berjumpa dengan kawan mangsa yang lain. Selepas 20 minit, pensyarah berkenaan datang balik tetapi dia tidak menemui mangsa,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Sabtu.

Ng berkata, seorang lagi pelajar memeriksa semula bilik tersebut namun mangsa masih lagi belum berada di dalam bilik, sebelum beberapa pelajar mencari mangsa di balkoni bilik hotel sebelum menemui mangsa di atas lantai hadapan lobi hotel.

Beliau berkata pegawai perubatan yang tiba kemudiannya mengesahkan mangsa telah meninggal dunia dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Kampar untuk bedah siasat.

Beliau berkata hasil pemeriksaan mendapati tiada unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.


Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain