suria

Sultan Selangor Hadir Pengebumian Pak Engku

SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menghadiri upacara pengebumian jenazah pemilik Kuzie Katering Datuk Raja Rosly Raja Mazlan atau Pak Engku di Makam Diraja Shah Alam di sini.

Sultan Selangor tiba di makam itu kira-kira jam 10.40 pagi diiringi Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin.

Baginda semalam telah memperkenankan supaya jenazah Pak Engku dikebumikan di Makam Diraja Shah Alam.

Kira-kira 300 anggota keluarga, kenalan serta rakan artis turut hadir pada upacara pengebumian itu.

Jenazah Pak Engku selamat disemadikan kira-kira 11 pagi dan bacaan talkin  disempurnakan imam Masjid Istana Alam Shah Mohd Rasid Mahful.

Pak Engku, 57, menghembuskan nafas terakhir di Pusat Perubatan Darul Ehsan (DEMC) di sini kira-kira 9.10 malam tadi akibat kencing manis dan masalah buah pinggang.

Allahyarham sebelum itu tidak sedarkan diri selepas menjalani pembedahan di hospital sama Khamis lalu.

Beliau meninggalkan isteri Datin Ramziah Samah, 47, dan tiga anak berusia antara 17 dan 22 tahun.

Terdahulu jenazah Allahyarham dibawa ke Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini untuk dimandi dan dikapankan sebelum disembahyangkan dengan diimamkan Imam Besar masjid itu, Muhammad Farhan Wijaya.

Berpengalaman luas dalam bidang katering dan hasil air tangannya yang sering mendapat pujian membolehkan Pak Engku mendapat kepercayaan untuk mengendalikan majlis besar golongan kenamaan termasuk pemimpin negara.

Antara majlis yang pernah dikendalikan Allahyarham ialah Rumah Terbuka Aidilfitri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sejak 2009 dan majlis rumah terbuka Aidilfitri Istana Negara pada 2011.- Bernama


Sultan Selangor, Pak Engku

Artikel Lain