suria

Padah Ugut, Peguam Dipenjara & Denda RM10,000

PETALING JAYA: Seorang peguam dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan dan denda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, selepas didapati bersalah atas pertuduhan mengugut seorang peguam dengan mengeluarkan kata-kata ugutan hendak menyebabkan cedera parah dan kematian, tiga tahun lalu.

Majistret Mohd Azali Ibrahim menjatuhkan hukuman itu  terhadap A.Suayri, 56, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 10 bulan lagi jika gagal membayar denda. Seramai lapan saksi pendakwaan dan enam saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes itu.

Suayri didakwa mengugut Datuk Suraj Singh Jaswant Singh, 45, di Lake View Club SS12, Subang Jaya, Jalan SS 12/1 Subang Jaya di sini pada pukul 11.35 malam, 24 Mei 2014 mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Terdahulu, peguam Liow Boon Lee yang mewakili tertuduh memohon mahkamah menangguhkan pelaksanaan hukuman terhadap anak guamnya atas alasan tertuduh sebagai pengamal undang-undang mempunyai tanggungjawab terhadap  kes-kes yang diwakilinya.

"Sekiranya tertuduh menjalani hukuman penjara, ia akan menjejaskan kes-kes anak guamnya. Saya mohon pertimbangan mahkamah berhubung penangguhan pelaksanaan hukuman. Pihak kami juga akan mengemukakan rayuan dengan segera," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya N. Sivashangari membantah permohonan Liow mengambil kira faktor rayuan itu tidak boleh dijadikan alasan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman tersebut.

“Tertuduh sedia maklum hari ini merupakan keputusan sama ada dia akan dilepaskan atau disabitkan. Sepatutnya tertuduh mengatur perancangan untuk kes-kes yang diwakilinya. Alasan tertuduh sebagai peguam dan akan menjejaskan anak guamnya adalah tidak munasabah.

"Bagaimanapun, jika mahkamah membenarkan penangguhan,  pihak pendakwaan memohon mahkamah mengenakan syarat tambahan iaitu notis rayuan perlu difailkan dalam tempoh 24 jam dan wang jaminan dinaikkan," katanya.

Mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman itu dengan menaikkan jaminan daripada RM1,500 kepada RM5,000 dan notis rayuan difailkan dalam tempoh 24 jam.-- Bernama 







Suayri, Lake View Club

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain