suria

Asing Gelas Tidak Ikut Pekeliling - Mahdzir

KUALA NERANG: Tindakan pentadbir sebuah sekolah rendah yang mengasingkan gelas minuman untuk pelajar Islam dan bukan Islam dilihat tidak bertepatan serta bersesuaian dengan peraturan dan pekeliling Kementerian Pendidikan sedia ada.

Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata sebaliknya pentadbir sekolah harus berperanan sebagai agen pemurnian dalam mewujudkan perpaduan dan menjaga sensitiviti kepelbagaian kaum.

"Semua jenis peraturan dan pekeliling urusan sekolah telah tertakluk pada pekeliling kementerian sedia ada, jadi pentadbir sekolah tidak boleh buat sesuatu perkara lebih dari apa yang telah ditetapkan.

"Mereka (pentadbir sekolah) tidak boleh buat peraturan sendiri sebaliknya perlu merujuk dengan pihak kementerian dahulu jika hendak melakukan sesuatu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Puteri dan Pemuda Umno Bahagian Padang Terap pada Jumaat.

Beliau diminta mengulas isu dasar mengasingkan gelas minuman pelajar Islam dan bukan Islam di sebuah sekolah rendah di Hulu Langat, Selangor seperti yang dilapor sebuah portal media pada Khamis.

Mahdzir berkata sebelum melaksanakan sesuatu peraturan, pentadbir sekolah perlu memastikan ia tidak menyentuh sensitiviti kaum.

"Dalam kehidupan majmuk ini, sensitiviti ada jadi kita perlu jaga. Jangan disebabkan pelaksanaan yang dibuat itu mendatangkan masalah dan menyusahkan pihak lain," katanya.

Namun katanya isu itu telah diselesaikan di peringkat jabatan.

Isu itu turut diulas Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria yang menyifatkan tindakan itu sebagai perkauman di samping mendorong kebencian dan penghinaan terhadap kaum lain.- Bernama

Asing Gelas

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain