suria

Visa Syarat Beli Kad Sim

ASSALAMUALAIKUM. Musim haji tiba lagi. Lebih 30,000 umat Islam di negara ini berpeluang menyempurnakan rukun Islam kelima itu pada tahun ini. Rombongan pertama jemaah haji sudahpun berlepas ke Tanah Suci pada 24 Julai lalu.

Semoga semua jemaah haji yang diundang sebagai tetamu Allah SWT pada tahun ini memperoleh haji mabrur dan dipermudahkan segala urusan perjalanan serta ibadat mereka.

Sebahagian besar jemaah sedia maklum untuk menyediakan kelengkapan ibadat haji dan selalunya dinasihatkan oleh mereka yang berpengalaman, ahli keluarga, ketika mengikuti kursus haji bersiri dan melalui bahan bacaan.

Jika jemaah terlupa membawa sebarang kelengkapan atau peralatan, usah gusar kerana sebahagian besar boleh dibeli di Tanah Suci Madinah atau Makkah. Namun, sesuatu yang tidak boleh dilupakan ialah telefon bimbit.

Ia antara keperluan utama untuk anda menyampaikan khabar berita kepada waris dan ahli keluarga. Menerusinya jemaah boleh berkomunikasi dan menyalurkan maklum balas, termasuk waris yang bersama-sama mengerjakan ibadat haji.

Suatu ketika dahulu telefon bimbit berkamera tidak boleh dibawa masuk ke dalam Masjid Nabawi dan Masjidil Haram untuk mengelakkan jemaah mengambil gambar tetapi sekarang tidak lagi kerana semua sedia maklum kepentingannya untuk berhubung dan menyalurkan informasi.

Lazimnya, jemaah akan dinasihatkan supaya membeli kad sim yang dijual di Tanah Suci untuk membuat panggilan atau untuk memudahkan mereka menggunakan aplikasi whatsaap, mengemas kini Facebook dan Instagram.

Suatu ketika dahulu, mudah mendapatkan kad sim. Pergi saja ke bazar sekeliling masjid, insyaAllah jemaah boleh mendapatkannya sama ada di kedai jam, kedai aksesori dan kadangkala di kedai runcit, yang dijual oleh peniaga di kedai atau bazar terbabit.

Kadangkala tiba di lapangan terbang Jeddah, jemaah sudah dihampiri oleh kakitangan di situ yang menawarkan kad sim. Lazimnya, ramai juga yang membeli di lapangan terbang agar lebih segera maklumat sampai ke pangkuan waris atau keluarga di tanah air.

Nyatakan saja kad sim dikehendaki, sama ada STC, Mobily atau Zain, semua boleh dibeli dengan mudah dan peniaga membantu jemaah untuk memasukkan kad sim ke dalam telefon bimbit jemaah.

Bagaimanapun, sejak tahun lalu, kad sim mula sukar dibeli. Pengalaman ketika menunaikan umrah pada akhir Ramadan tahun lalu agak memeranjatkan kerana kesukaran mendapatkan kad sim di kedai yang terletak di bawah hotel dan bazar sekitar Masjid Nabawi.

Mereka mengarahkan saya agar pergi ke kedai telekomunikasi di Syaza Hotel. Saya keberatan pada mulanya tetapi disebabkan perlu memaklumkan kepada keluarga mengenai perkembangan, saya melangkah ke kedai telekomunikasi Mobily.

Ketika membeli kad sim itu, saya hanya perlu mengambil nombor giliran dan menyatakan pelan dikehendaki. Tidaklah lama penantian saya kerana ramai kakitangan di kaunter. Alhamdulillah, setelah membeli kad sim, saya meminta kakitangan di kedai itu memasukkannya ke dalam telefon bimbit saya.

Bukan saya sendirian begitu, ramai lagi wanita lain turut berbuat demikian dan seorang petugas bertanggungjawab menguruskan jemaah yang mahu khidmat seumpama itu. 

Namun begitu, ketika berkunjung ke Makkah pada Syawal lalu, lain pula jadinya dan hendak mendapatkan kad sim semakin rumit. Tiada lagi kakitangan lapangan terbang yang menawarkan dan menjual kad berkenaan.

Saya dan beberapa rakan jemaah menuju ke kiosk telekomunikasi di lapangan terbang untuk membeli kad sim. Saya beratur di kaunter Mobily tetapi hampa kerana kehabisan stok. Saya kemudiannya ke kiosk Zain dan mendapati barisan yang panjang di kaunter berkenaan.

Saya ke kiosk STC. Tidak ramai yang beratur tetapi disebabkan servis yang lambat, menyebabkan saya mengambil keputusan membeli kad sim apabila tiba di Makkah.

Tiba di Hotel Haneen Firdaus di Makkah, kakitangan hotel menawarkan kad sim STC berharga SR120 yang boleh digunakan untuk Internet iaitu termasuk aplikasi whatsapp, Facebook dan Instagram. Bagaimanapun, saya tidak terus membelinya kerana mahu menyempurnakan rukun umrah.

Saya bercadang membeli kad sim di sebuah kedai jam dan aksesori di Hotel Safwa Royale Orchid selepas solat Aidilftri.

Bagaimanapun, kedai berkenaan tidak lagi menjual kad sim malah mengatakan kepada saya agar membelinya di bangunan Abraj Al-Bait atau menara jam besar kerana di situ ada kiosk Mobily dan Zain.

Tanpa berlengah saya ke Abraj Al-Bait. Bagaimanapun, hampa kerana petugas di kiosk meminta pasport dan visa atau salinan dokumen berkenaan. Saya mengatakan dokumen itu tiada dengan saya kerana sudah diambil oleh pihak hotel.

Kakitangan di kiosk menggelengkan kepala dan mengatakan tidak boleh membeli kad sim jika saya tidak mengemukakan dokumen berkenaan. Saya pulang semula ke hotel dan akhirnya terpaksa membeli kad sim daripada kakitangan hotel berkenaan tanpa mengemukakan sebarang dokumen.

Sehubungan itu, bakal jemaah haji dan umrah, simpanlah salinan pasport anda sebelum diminta menyerahkannya kepada pihak muasasah dan hotel. Agensi pengendali haji dan umrah pula diharap dapat memberi salinan visa kepada setiap jemaah agar tiada kesulitan untuk membeli kad sim di Tanah Suci.

Bagaimanapun, jika anda berkesempatan membelinya di lapangan terbang di Jeddah atau Madinah, sebaik-baiknya berbuat demikian kerana pasport dan visa masih di dalam tangan.

InsyaAllah bersambung minggu depan.

STC, Mobily, Zain

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain