suria

Cermin Pameran 'Kalis Peluru' Gagalkan Cubaan Rompak

PETALING JAYA: Terima kasih kepada cermin pameran barang kemas kalis peluru yang menggagalkan cubaan rompakan sekumpulan penjenayah di sebuah kedai emas di Shah Alam pada Isnin lalu.

Walaupun berkali-kali mengetuk menggunakan tukul besar sekuat mungkin, tetapi cermin pameran tersebut sukar untuk dipecahkan.

Akhirnya kumpulan perompak terbabit terpaksa beredar dengan tangan kosong.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam, Superintendan Nek Zaidi Zakaria yang mengesahkan kes tersebut berkata, enam suspek terlibat dalam rompakan itu.

Kedai Emas Sri Alam yang terletak di dalam sebuah pusat membeli-belah di Shah Alam memuat naik rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di halaman Facebooknya pada Selasa sehingga tular di media sosial.

Video berdurasi 42 saat itu menunjukkan dua perompak cuba memecah cermin pameran menggunakan tukul sementara pekerja di premis lari menyelamatkan diri.

Bagaimanapun sehingga akhir rakaman video tersebut, kumpulan perompak itu dilihat masih gagal memecahnya.

Seorang kakitangan kedai yang berada di tempat kejadian berkata, kerosakan yang disebabkan perompak itu dianggarkan kira-kira RM80,000.

"Kita belum periksa stok kami dengan teliti tetapi apa yang saya lihat, perompak-perompak terbabit tidak mengambil apa-apa," tambahnya.

Dia bagaimanapun tidak dapat mengesahkan sama ada bahan telus yang diperbuatkan daripada polikarbonat itu tetapi memberitahu bahawa kontraktor memaklumkan ia adalah 'kalis peluru'.

Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, satu pasukan petugas khas ditubuhkan bagi menyiasat kesemua kes rompakan di Selangor termasuk insiden yang berlaku di Shah Alam.

"Kita sedang memantau dan berharap dapat menahan suspek yang bertanggungjawab melakukan jenayah itu secepat mungkin," katanya.

Artikel Sebelum

Teh Ais Bangla Ke Ni?

Artikel Lain