suria

Stesen Minyak Jangan Cuba 'Main Taktik'

- Gambar hiasan

PETALING JAYA: Pengusaha stesen minyak diberi amaran supaya tidak cuba 'main taktik' semata-mata kerana mahu mengaut untung lebih.

Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, ini kerana, taktik itu yang digunakan oleh beberapa pengusaha bukan sahaja diketahui penguatkuasa, tetapi juga pengguna.

"Jangan main taktik inilah sebab KPDNKK tahu, pengguna pun tahu bahawa peniaga-peniaga stesen minyak akan mengamalkan sikap sebegitu kalau harga minyak naik.

"Kita sedar dan kita pandang serius perkara-perkara seperti ini, (peniaga) jangan buat perangai macam tu," katanya ketika dihubungi mStar Online, Khamis.

Mohd Roslan mengulas mengenai rungutan beberapa pengguna di media sosial yang mendakwa stesen minyak yang dikunjungi mereka pada malam Rabu sengaja ditutup lebih awal berbanding hari biasa dengan alasan 'minyak habis'.

Mereka mendakwa tindakan itu ada kaitan dengan pengumuman kenaikan harga RON95 dan RON97 sebanyak empat sen, serta harga diesel yang naik tujuh sen berkuatkuasa tengah malam Khamis.

Dalam isu ini, Mohd Roslan mengakui bahawa pengusaha stesen minyak akan mendapat maklumat lebih awal berhubung harga minyak sebelum ia diumumkan kepada orang awam.

Mengulas lanjut, katanya, stesen minyak kehabisan stok bahan api boleh berlaku di mana-mana premis berkenaan, tetapi jika pengguna curiga, mereka boleh membuat aduan kepada KPDNKK.

"Kadang-kadang betul (habis), sebab itu kalau ada aduan kita akan pergi tengok akan periksa tangki bawah tanah betul ke minyak habis.

"Kalau betul habis, peniaga mesti buktikan bahawa mereka telah 'order' dari depot," katanya.

Menurut Mohd Roslan, pengusaha juga tidak dibenarkan menutup stesen minyak atau menghentikan jualan sesuka hati mereka.

Beliau menjelaskan, isu ini bukan baharu sebaliknya aduan mengenainya telah dibuat oleh orang awam dan KPDNKK telah pun mengambil tindakan ke atas penguasaha terbabit.

"Kalau nak hentikan jualan minyak sebab mahu bercuti misalnya, mereka kena maklumkan kepada KPDNKK terlebih dulu...tak boleh tutup kerana sebab-sebab lain yang tak munasabah," katanya.

Bagaimanapun, beliau meansihatkan pengguna supaya tidak terkeliru kerana memang ada stesen minyak yang ditutup awal kerana waktu operasi setiap stesen minyak adalah berbeza.

Katanya, tindakan menutup stesen minyak atau enggan menjual minyak kepada pengguna adalah satu kesalahan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961.

Pengusaha yang didapati bersalah boleh dikenakan kompaun, stesen disita atau didakwa di mahkamah.

KPDNKK, minyak naik, harga minyak

Artikel Sebelum

Artikel Lain