suria

Sakit Kanser - Benar, Kutip Derma RM500,000 - Palsu

Pihak tidak bertanggungjawab menggunakan gambar Aqil pada akaun Facebook palsu untuk mengutip derma daripada orang ramai.

PETALING JAYA: Sepasang suami isteri berang apabila ada pihak tidak bertanggungjawab mempergunakan gambar anak mereka untuk memperdaya orang ramai.

Individu itu menggunakan laman Facebook portal berita Sinar Harian Online yang palsu untuk mengutip derma sebanyak RM500,000 bagi merawat penyakit kanser yang dihidapi oleh anak lelaki Muhammad Zaki Mohd Nizam dan isterinya, Asmah Jasmien.

Untuk makluman, laman Facebook rasmi akhbar berkenaan ialah Sinar Harian dan bukannya Sinar Harian Online.

Bapa kepada Aqil Muhammad Zaki yang dihubungi mStar Online pada malam Rabu menafikan keluarga mereka memerlukan wang derma tersebut.

Lebih mengecewakan, usaha ahli keluarga Muhammad Zaki untuk memastikan orang ramai maklum berhubung penipuan tersebut gagal apabila semua komen yang ditinggalkan pada posting palsu berkenaan dipadam dan akaun mereka disekat oleh pengendali laman itu.

"Petang tadi baru saya tahu mengenai perkara ini selepas dimaklumkan oleh kawan-kawan.

"Saya akan buat laporan polis pada malam ini (Rabu) dan berharap pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) boleh menyekat akaun tersebut daripada terus menipu rakyat Malaysia," katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Zaki tidak menafikan bahawa anaknya yang berusia 13 tahun itu sememangnya menghidapi kanser dan segala kos perubatan sebenarnya ditanggung Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

"Anak saya memang menghidap kanser tulang tahap empat dan kisahnya pernah disiarkan pihak media.

"Anak saya mendapat perlindungan  insurans sekolah dan kami hanya menampung perbelanjaan ulang-alik ke hospital, " jelasnya.

Menurut posting palsu tersebut, individu yang dipercayai bernama Azman itu telah menggunakan gambar anak pasangan berkenaan dan mengaku bahawa Aqil adalah anaknya.

Lelaki tersebut memancing simpati orang ramai dengan menceritakan tentang penderitaan yang dialami oleh Aqil.

kutipan derma palsu

Artikel Sebelum

Jangan Mengada Nak Bedah!

Artikel Berikut

Artikel Lain