suria

Wanita Maut Langgar Belakang Lori

Orang ramai cuba mengeluarkan mangsa yang tersepit.

SHAH ALAM: Seorang wanita yang terlibat dalam satu kemalangan jalan raya dengan sebuah lori di jalan utama Alam Perdana, Kuala Selangor pada Selasa meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Timbalan Supt Mohd Asri A. Wahab  berkata  mangsa, Masitah Dimyati, 41, memandu kereta yang membawa dua kanak-kanak yang turut cedera dalam kemalangan itu selepas kereta yang dinaiki melanggar belakang lori berkenaan.

Dua kanak-kanak itu Muhammad Ammar Irfan Mohd Sah Rolamri, 5, dan Muhammad Ammar Izzat Mohd Sah Rolamri, 3, merupakan adik-beradik dan anak saudara mangsa, dihantar ke Hospital Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

Mohd Asri berkata kemalangan itu berlaku pukul 11.30 pagi Selasa apabila pemandu lori terbabit yang dalam perjalanan dari Sungai Buloh tiba-tiba memperlahankan kenderaannya untuk masuk ke simpang Taman Alam Perdana bagi menghantar barang.

Tindakan pemandu lori berumur 65 tahun itu menyebabkan kereta Perodua Viva yang dipandu wanita terbabit di lorong kanan arah sama jalan melanggar belakang lori itu, katanya.

Mohd Asri berkata akibat daripada perlanggaran itu, Masitah tersepit dan mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala.

 Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - BERNAMA

kemalangan, Puncak Alam

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

TAP Bakal Dilancar

Artikel Lain