suria

Lima Kampung Diisytihar Kawasan Jangkitan Rabies

Gambar hiasan.

KUCHING: Kerajaan Sarawak mengisytiharkan lima kampung di daerah Serian sebagai kawasan dijangkiti penyakit anjing gila atau rabies.

Malah arahan turut dikeluarkan agar semua anjing peliharaan di kawasan dalam lingkungan 10km di situ, diberi vaksin terhadap penyakit berkenaan.

Perkara itu diumumkan Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas, yang turut menjelaskan bahawa kampung terbabit ialah Kampung Kerait, Kampung Paon Rimu, Kampung Paun Rimu Bakung, Kampung Remun dan Kampung Lebor.

Beliau berkata pasukan pemberi vaksin telah dihantar ke ‘ground zero' di zon yang dijangkiti penyakit itu hari ini, dan mereka juga akan mengunjungi kawasan lain.

“Bagi memastikan kejayaan operasi pemberian vaksin ini, kami memohon kerjasama penuh daripada semua pemilik anjing peliharaan supaya memastikan haiwan peliharaan mereka diberi vaksin dengan secepat mungkin,” kata Uggah selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri, di pejabatnya di sini Selasa.

Tiga kanak-kanak di Daerah Serian dijangkiti rabies seperti yang diumumkan Hospital Umum Sarawak pada 22 Jun.

Dua daripada mereka, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun dan kakaknya berusia  enam tahun, meninggal dunia pada Selasa.

Mangsa ketiga, kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun, berada dalam keadaan kritikal.

Menjawab soalan pemberita, Uggah berkata pihak berkuasa belum menentukan punca sebenar penularan wabak itu dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar sedang mengkaji perkara berkenaan.

Menurutnya, radius sekitar 10km ditetapkan kerana kebiasaannya, anjing yang dijangkiti penyakit itu hanya dapat bertahan selama tiga hingga sembilan hari sebelum mati, dan apabila dijangkiti, pergerakan anjing berkenaan juga adalah terbatas.

Beliau seterusnya meminta orang ramai di kawasan terbabit supaya sentiasa berwaspada terhadap gigitan anjing atau kucing peliharaan, dan segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami tanda-tanda jangkitan.

Beliau berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan Jabatan Kesihatan, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, polis, tentera, pihak berkuasa tempatan, pejabat daerah, klinik haiwan, Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan Sarawak (SSPCA) serta pelbagai agensi kerajaan negeri dan persekutuan bagi mengawal dan membanteras penyakit itu. - BERNAMA

rabies, Serian

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain