suria

Bunuh Pekerja Hotel: Wanita, Remaja Antara Direman

Empat direman berhubung kematian M. Sathiwill.

GEORGE TOWN: Empat individu termasuk seorang wanita dan remaja direman selama enam hari bagi membantu siasatan kes bunuh seorang pekerja hotel di pangsapuri di Rifle Range.

Mahkamah majistret di sini mengeluarkan perintah reman terhadap seorang wanita menganggur berusia 30 tahun dan tiga lelaki berusia dalam lingkungan 15 hingga 22 tahun pada Khamis. 

Mereka ditahan sehingga 4 Julai depan.

Dilaporkan M. Sathiwill, 20, dijumpai dibunuh pada Rabu dengan tangan dan kakinya diikat menggunakan tali nilon pada pukul 9.30 pagi. 

Mayatnya dibalut menggunakan cadar.

Mangsa dipercayai diserang oleh lima suspek di koridor di luar sebuah unit pangsapuri di aras 16.

Timbalan Ketua Polis Daerah George Town, Superitenden V. Saravanan berkata, hasil siasatan menunjukkan Sathiwill dipukul dengan objek tumpul sebelum meninggal dunia.

Beliau menambah, mangsa menyewa sebuah bilik di pangsapuri tersebut bersama abangnya sebulan lalu.

Kes disiasat di bawah seksyen 302 kanun keseksaan kerana membunuh bunuh.

Artikel Berikut

Artikel Lain