suria

Norjuma Gembira Ditemani Insan Istimewa

Norjuma bersama tiga anaknya.

PETALING JAYA: Bekas personaliti TV3 Datin Norjuma Habib Mohamed ditemani insan istimewa pada Aidilfitri kali ini.

Norjuma, 37, berkata, insan istimewa tersebut akan bersama keluarganya di ibu kota pada hari raya pertama untuk sama-sama meraikan Aidilfitri.

Insan istimewa yang dimaksudkan Norjuma adalah anak-anak yatim yang tidak pulang beraya ke rumah keluarga masing-masing atas alasan tertentu.

“Bila hari raya anak-anak yatim sudah tiada jemputan sebab kebanyakan mereka sudah dijemput untuk majlis berbuka puasa, tapi sebenarnya ramai juga yang tak balik kampung.

“Daripada mereka hanya duduk di tempat mereka, lebih baik saya jemput mereka datang beraya di rumah saya,” katanya kepada mStar Online.

Pengasas tudung Bawal Aidijuma ini berkata, amalan beraya dengan anak yatim pada hari raya pertama telah menjadi tradisi keluarganya sejak lima tahun lalu.

Pada hari tersebut, rumahnya akan dibuka khas untuk anak yatim pelbagai peringkat umur, bermula pukul 12 tengah hari hingga enam petang.

“Kita akan buat macam-macam aktiviti, macam majlis hari jadi…belikan mainan, makan, tengok ‘movie’, mereka bebas meraikannya.

“Sepanjang hari tu memang tak ada tetamu lain kecuali ahli keluarga dan kawan rapat yang dijemput,” katanya.

Ibu kepada Aqil Razak, 11, Arif Razak, sembilan, dan Ariz Razak, tujuh, ini berkata, amalan ini mempunyai kaitan dengan pandangannya terhadap pengertian raya.

“Secara keseluruhannya bila raya, saya rasa biarlah kanak-kanak yang gembira.

“Saya selalu rasa kanak-kanak yang gembira akan membesar sebagai seorang manusia yang lebih yakin dan saya ambil peluang ini untuk gembirakan mereka,” katanya.

Norjuma berkata raya tahun ini juga sedikit berbeza berbanding tahun-tahun lalu kerana kereta peribadinya telah diubah 'wajah' menjadi kereta korporat.

Katanya, beliau juga tidak akan mengadakan rumah terbuka Aidijuma, sebaliknya pasukan Aidijuma memilih untuk beraya di rumah pelanggan setia yang terpilih.

"Kalau rombongan guna kereta korporat, takkan saya seorang bawa BMW, biarlah semua sama.

"Kalau pemilik atau pengaasas tak bangga untuk jadikan keretanya sebagai kereta korporat macam mana orang lain nak hargai imej korporat syarikat," katanya sambil menambah program ini juga sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Bercerita lanjut mengenai program ini, Norjuma berkata ia dibuat untuk menghargai pelanggan yang banyak memberi sokongan kepada Aidijuma.

“Kita buat pilihan rumah, bagi token untuk mereka masak, kemudian rombongan yang terdiri daripada ‘reseller’ atau staff akan beraya di rumah mereka.

“Kita akan bersembang dengan mereka, dari situlah kita akan kenal pelanggan. Walaupun dia kata rumah dia tak ada apa-apa, itu tak jadi masalah kerana yang penting dapat beraya bersama,” katanya.

Kelab Pesona Aidijuma ketika melakukan aktiviti CSR di penjara Kajang.

Mengenai juadah hari raya, Norjuma berkata beliau dan adik-beradik yang lain suka mencuba resipi baharu pada malam raya.

“Bagi kami kuih raya kena buat malam raya. Kami suka cuba buat kuih raya yang pelik-pelik atau yang kami tengok di Youtube.

“Banyak juga kuih raya yang kami tempah dan memang dijamin sedap, jadi kuih yang kami buat sendiri tu hanya untuk dihidang pada pagi raya, kami-kami saja yang makan.

“Kalau nak hidang kepada tetamu, kena tengok dulu yang mana tak hangus,” katanya sambil ketawa.

Norjuma sekeluarga akan pulang beraya di Pulau Pinang pada hari raya ketiga, sebelum pergi bercuti di lokasi percutian yang belum diputuskan.

Norjuma, Aidilfitri

Artikel Berikut

Artikel Lain