suria

Jurugambar Popular Trauma Pandu Kereta

Eksklusif: Yeirkif Abdullah (kanan) jarang memuat naik gambar dirinya di laman sosial.

NAMA Yeirkif Abdullah, 29, semakin mendapat tempat dalam kalangan peminat fotografi perkahwinan tanah air.

Sentuhan magis yang diberikannya ketika merakam momen indah pasangan merpati dua sejoli tidak pernah menghampakan.

Jurugambar popular itu yang memiliki lebih 35,000 pengikut di Instagram turut menjadi pilihan pelanggan VIP yang mengagumi hasil karyanya.

Namun, siapa sangka jurugambar yang jarang mendedahkan wajahnya di laman sosial itu memiliki trauma yang tersimpan kemas dalam lipatan memorinya.

Jejaka yang berasal dari Pantai Timur itu pernah terlibat dalam kemalangan jalan raya ketika masih menuntut di tahun dua jurusan Ijazah Sarjana Muda Senibina Landskap pada 2008.

Hos televisyen, Adam Carruthers (tengah) pernah menggunakan khidmat Yeirkif Abdullah pada hari bahagianya.

Insiden tersebut meninggalkan kesan mendalam sehingga jurugambar yang tinggi lampai itu trauma untuk memandu atau menunggang motosikal walaupun sudah hampir 10 tahun kejadian ngeri itu berlaku.

Kemalangan yang mengakibatkan dirinya patah tangan kiri dan kaki kiri itu memaksanya untuk menggunakan kerusi roda selama hampir setahun.

Namun, Yeirkif tidak membiarkan insiden itu terus membelenggunya dan nekad untuk berjinak-jinak dalam dunia fotografi untuk dia bangkit semula.

Seperti kata pepatah, 'tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu', Yeirkif tidak lagi menoleh ke belakang dan mula mendapat kepercayaan pelanggan untuk menjadi jurugambar rasmi pada hari bahagia mereka.

"Pada asalnya saya tangkap gambar talent (model) sekadar suka-suka kerana minat dengan konsep pemotretan dan landskap.

"Suatu hari, seorang kawan ajak ikut dia untuk tangkap gambar perkahwinan tapi tiada bayaran diberikan, saya ikut sahaja" katanya ketika dihubungi mStar Online.

Jelas Yeirkif, biarpun tidak mendapat bayaran, namun dia berasa seronok dengan pengalaman baharu tersebut dan mula menceburkan diri secara serius dalam bidang fotografi perkahwinan.


Selain fotografi perkahwinan, Yeirkif Abdullah pernah merakam fotografi maternity bersama pengacara, Nadia Annuar dan suaminya.

Ketika ditanya bagaimana dia bergerak untuk ke lokasi tugasan jika tidak memandu, jurugambar itu teragak-agak untuk menceritakan hal berkenaan kerana bimbang ada pihak yang memperkecilkan 'kekurangannya' itu.

"Saya rasa segan nak berkongsi kerana tak ramai yang faham sebagai manusia biasa, saya juga mengalami trauma.

"Kadang-kadang bila naik kereta dengan kawan-kawan, saya mula panik jika mereka memandu dengan berbahaya. Mujurlah mereka memahami keadaan saya dan mula memperlahankan kenderaan mengikut had laju yang dibenarkan," ceritanya.

Menurut Yeirkif, dia masih selesa menggunakan perkhidmatan perkongsian kenderaan seperti Uber dan GrabCar untuk menuju ke destinasi yang diingini.

"Saya ada terfikir sampai bila saya akan jadi begini, saya akan cuba atasinya juga satu hari nanti," kata Yeirkif.

Jurugambar itu pernah mendapat tempahan untuk merakamkan gambar percutian bulan madu pelanggannya selama tiga hari dua malam di Lombok, Indonesia pada November tahun lalu.

Tambah Yeirkif, dia akan terbang ke United Kingdom pada September nanti untuk projek yang akan datang.

Yeirkif Abdullah

Artikel Berikut

Artikel Lain