suria

Laporan Perkembangan Trafik Di Beberapa Lebuh Raya Utama

- Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Aliran trafik di lebuh raya utama ke Pantai Timur dan utara Semenanjung Malaysia setakat 10 pagi Jumaat dilapor perlahan sejak awal pagi disebabkan pertambahan kenderaan di kedua-dua arah ketika orang ramai pulang ke kampung sempena sambutan Aidilfitri.

Menurut jurucakap Lembaga Lebuhraya Malaysia, trafik ke arah Pantai Timur perlahan dari Plaza Tol Gombak sehingga Lentang mulai kira-kira 3 pagi Jumaat dan ia dijangka berlarutan sekurang-kurangnya sehingga lewat petang ini.

Beliau berkata trafik di laluan lain ke arah Pantai Timur termasuk Lebuhraya Pantai Timur 2, bagaimanapun dilapor masih lancar.

Sementara itu, jurucakap PLUS Malaysia Berhad berkata trafik ke arah utara juga dilapor bergerak perlahan termasuk dari arah Jelapang menuju Terowong Menora, dan selepas terowong menuju Sungai Perak.

Katanya, turut mengalami keadaan sama ialah dari Tapah menuju Gopeng, Bidor ke Tapah, dan Slim River ke Sungkai.

Trafik ke arah selatan semenanjung dilaporkan lancar setakat 10 pagi.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik terkini menerusi talian bebas tol Plusline di 1800-88-0000 dan laman Twitter @plustrafik atau talian LLM di 1800-88-7752 serta laman Twitter @LLMinfotrafik. -Bernama

laporan trafik, Plus, lebuh raya

Artikel Lain