suria

Waktu Ke Raudah Berubah Ketika Ramadan

ASSALAMUALAIKUM. Kita sudah memasuki fasa akhir Ramadan. Justeru, ramai yang sudah tentu merebut peluang untuk melipatgandakan amal ibadat pada bulan penuh keberkatan ini. Tahun lalu, saya berpeluang untuk menunaikan umrah pada akhir Ramadan. Alhamdulillah.

Kemanisan ibadat pada 10 malam terakhir Ramadan di Tanah Suci sukar digambarkan. Hanya mereka yang sudah melaluinya dapat memahaminya. Hendak bercerita panjang pun tidak sesuai jika anda tidak pernah melalui pengalaman seumpama itu.

Berdoalah agar diundang sebagai tetamu Allah SWT pada akhir Ramadan. Biarpun bayaran pakej adalah tinggi pada akhir Ramadan, iaitu sekitar RM10,000 ke atas seorang untuk bilik berempat tetapi umrah akhir Ramadan begitu terkesan pada mereka yang melaluinya.

Di sini ingin saya kongsi dan memberi panduan mengenai jadual waktu masuk ke Raudah pada Ramadan. Pengalaman dilalui tahun lalu menyebabkan saya terpanggil untuk berkongsi pengalaman itu dengan pembaca sekalian, khususnya wanita.

Jika pada bulan-bulan biasa, jadual masuk ke Raudah adalah dari jam 7 pagi hingga 11 pagi, 1 tengah hari hingga 3 petang dan 9 malam hingga 12 malam tetapi pada Ramadan, ada sedikit perubahan.

Tentu sekali mereka yang sudah beberapa kali ke Tanah Suci mengetahui jadual masuk ke taman syurga itu.

Pada Ramadan, jadualnya berubah dan pastikan anda tidak terlepas pandang dan alpa mengenainya kerana dikhuatiri tidak dapat menziarahi makam Rasulullah S.A.W dan sahabat selain bersolat sunat serta berdoa di Raudah.

Tambahan pula, jemaah umrah selalunya berada di Tanah Suci Madinah hanya seketika iaitu empat hari tiga malam ataut tiga hari dua malam. Amat jarang jemaah umrah berada di Madinah lima hari empat malam.

Hanya ketika musim haji, jemaah berpeluang berziarah lebih lama di Madinah iaitu boleh mencecah sehingga lapan atau 10 hari.

Justeru, masa yang singkat di Madinah menyebabkan jemaah umrah perlu bijak mengatur masa untuk menyegerakan ziarah dalam iaitu berkunjung ke makam Rasulullah dan sahabat serta Raudah.

Ingin saya ingatkan, pastikan anda tidak berlengah untuk menziarahi makam, memberi salam kepada junjungan mulia Nabi Muhammad dan sahabat. Usah bertangguh lebih-lebih lagi wanita kerana dikhuatiri terhalang dengan keuzuran.

Pastikan anda ingat, pada Ramadan, tiada ziarah pada waktu malam iaitu selepas Isyak kerana ketika itu semua tertumpu untuk menunaikan solat sunat tarawih.

Ziarah ke makam dan Raudah untuk wanita hanya dibuka pada sebelah pagi iaitu dari jam 7 pagi hingga 11 pagi manakala pada tengah hari bermula dari jam 1 hingga 3 petang. Tempoh masa ini bagaimanapun tidak berubah seperti bulan lain.

Namun, saya ingin mengingatkan agar anda segera ke laluan masuk ke makam yang dibuka sejurus selepas solat Zuhur dan ditutup semula tidak sampai setengah jam.

Saya melalui pengalaman itu yang mana terlepas memasuki ke Raudah kerana terlewat tiba hanya 10 minit ke laluan masuk ke Raudah setelah penghadang kayu berukir ditutup awal kerana jumlah jemaah yang memasukinya sudah terlalu ramai.

Pada bulan-bulan biasa, penghadang kayu dibuka lebih lama untuk membuka peluang kepada jemaah berjalan masuk menuju ke makam dan Raudah tetapi ketika Ramadan, masanya sungguh singkat.

Bagi mereka, iaitu wanita yang belum pernah menunaikan ibadat umrah dan haji, ingat, laluan masuk ke makam dan Raudah terletak di pintu 25. Laluan ke Raudah dibuka mengikut masa ditetapkan untuk ziarah ke makam dan Raudah.

Dalam hal ini, jemaah akan berkumpul di depan penghadang kayu berukir mengikut negara. Bagi jemaah dari Malaysia, Singapura, Brunei Darussalam dan Indonesia, perhatikan sepanduk tertulis Bahasa Melayu yang dipegang oleh kakitangan wanita Masjid Nabawi.

Anda boleh duduk berkumpul bersama-sama jemaah lain jika tidak berteman atau tiada muzawirah. Sementara menunggu waktu masuk ke makam dan Raudah, luangkan masa untuk bersolat sunat, mengaji dan berzikir kerana ini dapat mendidik anda agar bersabar sebelum berziarah.

Ketika ini, sebahagian besar agensi pengendali umrah dan haji menyediakan khidmat muzawirah tetapi sekali sahaja dan jika anda mahu menziarahi makam dan Raudah berkali-kali, pergilah bersendirian atau secara berkumpulan.

Jika hotel penginapan tidak terletak berhampiran pintu 25, pastikan anda mengatur langkah lebih awal untuk bersolat Zuhur dengan memasuki pintu 25 dan bersolat Zuhur berjemaah di kawasan berkenaan.

Jika anda bersolat Zuhur berjemaah di pintu lain contohnya di pintu 15, 16 dan 17 yang terletak berhampiran hotel penginapan anda, ada kemungkinan anda terlepas untuk menziarahi makam dan Raudah pada hari berkenaan.

Hal ini berlaku sendiri pada saya kerana bersolat di pintu 17 dan apabila tiba di pintu 25, saya mendapati penghadang kayu sudah ditutup 10 minit sebelum saya tiba. Anda perlu ingat, tempoh perjalanan dari pintu 17 hingga ke pintu 25 pasti mengambil masa apatah lagi selepas solat fardu kerana kesesakan.

Justeru, sebaik-baiknya, bersolatlah di ruang solat pintu 25 untuk memastikan anda tidak terlepas peluang menziarahi makam dan Raudah. Lazimnya, kunjungan ke makam dan Raudah pada sebelah pagi dan malam lebih ramai berbanding pada tengah hari. Justeru, saya selalunya memilih selepas solat Zuhur untuk menziarahi makam dan Raudah.

Untuk Ramadan, jemaah wanita tiada pilihan kerana mereka hanya diberi masa untuk menziarahi makam dan Raudah pada sebelah pagi dan tengah hari. justeru, bersiap sedia bagi tujuan itu untuk memastikan anda tidak terlepas berdoa di taman syurga Raudah yang menjadi satu daripada tempat mustajab doa.

InsyaAllah bersambung minggu depan.



Raudah, Ramadan

Artikel Lain