suria

"Kami Tiada Istilah Makanan Sedap Sehinggalah..."

Berkongsi makanan yang disumbangkan oleh orang ramai.

PETALING JAYA: Setiap hari, sebaik sahaja bangun tidur, lapan kanak-kanak ini tidak pernah tahu 'nasib' perut mereka pada hari tersebut.

Apa yang pasti, setiap kali perut berkeroncong, mereka akan minum air kosong dan jika cara itu tidak dapat membantu, tidur adalah jalan paling mudah.

Situasi inilah yang sering dialami oleh Malar Valli, 34, bersama tiga anak kandung dan lima anak saudaranya yang masih kecil hampir setiap hari.

Malar yang bekerja sambilan sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) berkata kehidupannya menjadi bertambah susah apabila lima anak saudaranya yang berusia tujuh, enam, lima, tiga dan dua tahun ditinggalkan oleh ibu kandung mereka baru-baru ini.

"Sekarang semua beban terletak di bahu saya dan adik lelaki saya yang bekerja sebagai kelindan lori.

"Kerja kami tak tetap. Bila dipanggil bekerja, kami pergi dan saya terpaksa minta anak perempuan saya yang berusia 14 tahun menjaga mereka yang lain di rumah," katanya ketika ditemui di flat kediamannya di Desa Mentari 2, di sini.

Malar, yang sudah berpisah dengan suaminya selama lapan tahun lalu berkata dengan gaji harian yang tidak menentu, beliau hanya dapat membeli barangan keperluan asas seperti beras, roti dan telur pada hari-hari tertentu sahaja.

Jika bernasib baik, jiran sekeliling atau rakan-rakan akan menghulurkan makanan seperti nasi, kuah dhal atau kari untuk mereka sekeluarga.

Malar berkata, disebabkan kesempitan hidup, tiada istilah makanan enak dalam hidup mereka, atau pun ungkapan 'susu' untuk dua anak saudaranya yang masih kecil.

"Dua daripada mereka masih kecil tapi tak pernah minum susu atau pakai lampin, mereka minum air kosong dalam botol dan makan apa yang ada saja.

"Kami sudah biasa tak makan seharian kerana bekalan makanan habis atau hanya makan sekali sehari...kalau terlalu lapar, tidur boleh melupakan rasa lapar itu," katanya.

Namun, beliau amat bersyukur apabila ada pihak yang nampak penderitaan golongan susah dan senasib dengannya serta sudi menghulurkan bantuan.

Malar masih ingat lagi bagaimana beliau seisi keluarga berpeluang menikmati makanan enak yang sudah lama tidak dinikmatinya apabila kumpulan sukarelawan daripada Sunway Berhad, melalui Sunway Resort Hotel & Spa berkunjung ke tempatnya untuk mengagihkan makanan dalam program Zero Food Wastage, dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) Kechara Soup Kitchen.

Kempen yang telah masuk tahun kedua ini dilancarkan bagi membantu golongan kurang bernasib baik sekali gus mengatasi masalah pembaziran makanan.

"Masa itu kami dapat makan ayam, daging kambing dan ikan yang sudah lama kami tak makan. Buah-buahannya pun sedap sangat, saya difahamkan ia dari hotel.

"Saya dan keluarga saya amat menghargai saat-saat seperti ini dan amat berterima kasih kepada Sunway Berhad dan Kechara," katanya.

Puteri Sultan Selangor, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah (dua, kanan) mengagihkan makanan pada program Sunway #Zerofoodwastage dengan kerjasama Kechara Soup Kitchen Society, baru-baru ini. - fotoTheStar

Program #zerofoodwastage ini merupakan cetusan idea puteri Sultan Selangor, Tengku Zatashah Sultan Sharafuddin Idris Shah bagi menghentikan pembuangan lebihan makanan sepanjang bulan Ramadan terutama dari hotel yang menyediakan perkhidmatan bufet.

Beliau berharap kempen tersebut akan mendapat lebih banyak penyertaan daripada industri dan sokongan semua pihak termasuk orang awam agar pembaziran makanan tidak berterusan.

Sementara itu adik lelakinya, Sasikumar, pula berkata bantuan bulanan barangan keperluan rumah seperti beras dan roti yang diberikan oleh Kechara juga sedikit-sebanyak membantu meringankan ringan dirinya dan kakaknya.


Artikel Sebelum

Artikel Lain