suria

Bunyi Bising Rupanya Kesan Atap Rumah Tercabut - Mangsa

Keadaan salah sebuah daripada 32 rumah yang rosak akibat ribut di Perumahan Awam Kos Rendah Tok Randok pada Selasa. fotoBERNAMA

KUALA BERANG: "Saya mendengar bunyi tiupan angin kuat sangat, ia seakan-akan benda nak tercabut, tak sangka rupa-rupanya atap rumah saya yang terbang di depan mata," kata mangsa angin ribut, Sarimah Hassan.

Pada waktu kejadian pukul 3.30 petang itu, wanita berusia 39 tahun itu berada di dapur dan segera mencari anak-anaknya yang berada di ruang tamu , tempat paling teruk terjejas, untuk menyelamatkan diri.

"Pada ketika itu, suaminya, Mohd Shafie Mohd Amin, 49, tiada di rumah. Saya dan anak-anak segera keluar dari rumah apabila melihat satu persatu atap diterbangkan angin.

"Tetapi oleh kerana ribut yang kuat serta kilat sambar-menyambar, kami hanya berlindung di bahagian yang tidak terjejas dan berharap ia segera berakhir. Perasaan takut pada masa itu tidak dapat digambarkan tetapi Alhamdulillah tiada siapa yang tercedera," katanya yang ditemui pemberita di sini Selasa.

Sebanyak 32 rumah di Taman Perumahan Awam Kos Rendah Tok Randok, di sini, rosak dilanda ribut pada Isnin.

Sarimah berkata, kejadian seumpama ini merupakan yang pertama sejak mendiami rumah itu dalam tempoh 20 tahun dan beliau menjadi antara enam pemilik rumah yang terjejas teruk.

Pegawai Kebajikan Daerah Hulu Terengganu, Nor Azmi Adnan dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Ghazali Taib merangkap Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan Tugas-tugas Khas Negeri melawat mereka yang ditimpa musibah itu pada Selasa.

Nor Azmi berkata pihaknya telah menerima laporan daripada Jawatankuasa Keselamatan dan Kesejahteraan Kampung (J3K) Tok Randok pada pukul 4.30 petang dan mereka segera menggerakkan Unit Krisis dan Bencana ke lokasi.

"Di peringkat jabatan, kami akan gerakkan Unit Trauma untuk mengenal pasti mangsa-mangsa yang terkesan dengan kejadian berkenaan bagi menerima kaunseling. Selain itu, bantuan pemulihan berbentuk pakaian dan makanan kepada semua mangsa turut diberi agar dapat meringankan beban.

"Buat masa sekarang, sebanyak 32 rumah terlibat dan jumlah mangsa masih dalam proses kemas kini serta kerugian dianggarkan mencecah RM200,000. Perkara ini akan diketengahkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Selain itu, Ghazali berkata, enam buah rumah yang terjejas teruk, akan diberi peruntukan segera di bawah peruntukan Pejabat Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil.  - Bernama

ribut, Kuala Berang

Artikel Berikut

Artikel Lain