suria

Tiga Pelajar Malaysia Selamat

PETALING JAYA: Tiga pelajar Malaysia yang menghadiri konsert Ariana Grande di Manchester pada Isnin disahkan selamat.

Pesuruhjaya Tinggi Malaysia ke United Kingdom Datuk Ahmad Rasidi Hazizi berkata ketiga-tiga pelajar berkenaan yang belajar di Universiti Manchester telah memaklumkan kepada pihak pesuruhjaya bahawa mereka telah selamat pulang ke rumah.

Polis British berkata 22 orang termasuk beberapa kanak-kanak terbunuh dalam serangan berani mati yang dilakukan oleh seorang lelaki selepas tamatnya konsert Ariana Grande di Manchester Arena.

"Kami sedang berhubung dengan rakyat Malaysia di Manchester dan kami telah menerima pengesahan bahawa setakat ini tiada rakyat Malaysia yang terlibat dalam pengeboman itu," kata Ahmad Rasidi ketika dihubungi, Selasa.

Sementara itu Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mengesahkan tiada pelajar Malaysia terjejas dalam kejadian letupan bom pada konsert tersebut.

Kementerian itu dalam kenyataan pada Selasa berkata Education Malaysia United Kingdom  and  Ireland (EMUKE) mengesahkan, sejurus letupan itu berlaku, hebahan segera dilakukan melalui laman Facebook dan WhatsApp kepada persatuan pelajar di bandar itu dan kawasan sekitarnya.

"Langkah itu dibuat bagi memastikan kesahihan tiada penglibatan pelajar Malaysia di tempat kejadian," kata kementerian itu.

Menurut KPT, terdapat 1,303 pelajar Malaysia di Manchester sedang melanjutkan pelajaran di The University of Manchester, Manchester Metropolitan University dan University of Salford.

"EMUKE akan terus memantau dan akan melaporkan perkembangan dari semasa ke semasa. Semua pelajar diingatkan supaya berhati-hati dan berhubung dengan EMUKE untuk sebarang perkembangan," katanya.

Laporan awal media menyebut sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh manakala 59 orang cedera dalam insiden letupan bom pada konsert penyanyi Amerika Syarikat itu.

Berdasarkan laporan itu, kejadian pada pukul 10.35 malam waktu tempatan berlaku di ruang legar stadium itu ketika sebahagian besar penonton mula meninggalkan konsert untuk menuju ke stesen kereta api bawah tanah.

KPT, Ariana Grande, pelajar Malaysia

Artikel Sebelum

Artikel Lain