suria

Kes Rasuah Bekas Exco 5 Julai

JOHOR BAHRU: Mahkamah Sesyen di sini Selasa menetapkan 5 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula bagi 33 pertuduhan rasuah terhadap bekas exco Johor, Datuk Abd Latif Bandi dan perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd Raub, melibatkan hartanah berjumlah lebih RM30.3 juta.

Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir menetapkan tarikh berkenaan selepas membenarkan permohonan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khazrin Haffiz Khalil.

Terdahulu, Khazrin Haffiz memohon agar mahkamah membenarkan tarikh sebutan semula yang dicadangkan bagi memastikan segala dokumen yang lengkap dihantar sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan.

Abd Latif diwakili peguam Datuk Salehuddin Saidin dan empat lagi peguam manakala Amir diwakili Asrul Z. Stork dan Hazza Khalid.

Pada 19 April tahun ini, Abd Latif didakwa bersubahat dengan Amir untuk menerima rasuah daripada beberapa individu bagi mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot Bumiputera kepada pembeli awam, serta pengurangan bayaran wang sumbangan Tabung Perumahan Negeri Johor bagi beberapa projek perumahan di sini.

Amir pula dituduh menerima rasuah daripada beberapa individu sebagai upah untuk dirinya dan Abd Latif bagi melakukan apa-apa transaksi yang sebenarnya dengan badan awam iaitu mendapatkan kelulusan pelepasan sejumlah rumah lot Bumiputera dan pengurangan bayaran wang sumbangan tabung berkenaan.

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan tersebut antara 13 November 2013 hingga 19 Oktober tahun lalu di sebuah bank di Larkin Perdana, di sini.

Mahkamah kemudiannya membenarkan kedua-dua diikat jamin RM2 juta seorang dengan seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga selesai perbicaraan. - BERNAMA

Abd Latif Bandi, rasuah

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain