suria

Blue Whale Challenge Dipantau

SUNGAI PETANI: Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) sentiasa berwaspada dan akan melakukan pemantauan berterusan terhadap permainan dalam talian baharu, ''Blue Whale Challenge''.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Datuk Jailani Johari berkata, walaupun ada laporan bahawa ia dikesan di Rusia, namun setakat ini tiada insiden serupa dilaporkan pada laman sosial di negara ini.

"Blue Whale bukanlah sejenis permainan aplikasi atau perisian, ia adalah cabaran yang boleh dipanjangkan kepada seseorang menerusi apa-apa jenis komunikasi, dan mereka yang menyahut cabaran untuk bermain harus bermain dan menerima arahan dalam kehidupan sebenar, serta memberi laporan kepada pencabar.

"Kita akan sentiasa berwaspada dan melakukan pemantauan berterusan. Jika ada pihak yang mempunyai maklumat, perlu segera laporkan kepada KKMM," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pusat Internet 1Malaysia Bedong dekat sini, Rabu.

Cabaran Blue Whale yang boleh diakses sesiapa sahaja menerusi sebarang medium komunikasi itu, dilaporkan menimbulkan kebimbangan dalam kalangan ibu bapa di seluruh dunia selepas kes bunuh diri seorang remaja berusia 16 tahun di Rusia, dikaitkan dengan permainan itu.

Cabaran berbentuk permainan itu dikatakan mengajak pemain khususnya remaja, untuk melakukan beberapa tugasan yang diberikan oleh pencabar yang tidak dikenali, dalam masa 50 hari, sebelum mereka akhirnya membunuh diri.

Sehubungan itu Jailani menyarankan agar pemain industri mencipta permainan dalam talian yang lebih berfaedah dan tidak membahayakan pengguna.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, semua pihak dinasihatkan mengambil langkah berjaga bagi mengelakkan ancaman serangan siber komputer berbahaya, ''Ransomware Wannacry''.

"Pastikan sistem komputer anda dikemaskini, masukkan perisian pengesan anti-virus/malware, sentiasa membuat salinan sistem dan data. Jangan klik pada mana-mana pautan yang meragukan," katanya.

Pada Selasa, CyberSecurity Malaysia menerima laporan rasmi daripada institusi akademik dan beranggapan terdapat lebih banyak insiden yang tidak dilaporkan berhubung serangan global ''Ransomware WannaCry''.

Dalam perkembangan lain, Jailani berkata, beliau berharap agar Pusat Internet 1 Malaysia (PI1M) yang disediakan kerajaan akan dimanfaatkan sebaiknya.

"Selaras dengan tema sambutan Hari Telekomunikasi Sedunia hari ini, ''Big Data Big Impact'', kemudahan internet perlu digunakan untuk perkara yang memberi impak positif kepada masyarakat dan negara," katanya.

Blue Whale

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain