suria

"Saya Terpaksa Tipu Anak" - Isteri Warga Turki

Ainnurul Aisyah tidak dapat menahan kesedihannya pada sidang media di Ara, Damansara, di sini, Isnin. -fotoAFP

PETALING JAYA: Isteri kepada Ihsan Aslan, seorang daripada tiga warga Turki yang ditahan polis dipercayai terlibat dengan aktiviti kumpulan pengganas, merayu kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk berjumpa suaminya kerana anak-anaknya merindui bapa mereka.

Isteri Ihsan, Ainnurul Aisyah Yunos Ali Maricar, 35, yang mempunyai tiga anak berkata, anak keduanya iaitu Emina Nur, 6, sering bertanyakan tentang bapanya.

"Setiap kali dia (Emina) tanya di manakah babah (Ihsan), saya beritahu pada Emina bahawa babah berada di luar negara untuk urusan kerja dan tidak dapat dihubungi ketika ini.

"Emina sangat rapat dan merindui bapanya dan saya terpaksa berbohong kepada Emina setiap kali dia tanya pasal bapa mereka," katanya kepada pemberita pada sidang media di Ara, Damansara, di sini, Isnin.

Ainnurul Aisyah berkata anak pertamanya Muhammed Rafael, 10, tidak mampu berkomunikasi kerana menghidap autisme manakala anak bongsunya Emin Khalel berusia dua tahun.

Ainnurul Aisyah berkata dia hanya tahu bahawa suaminya ditahan melalui catatan Twitter Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar pada Rabu lepas.

"Selepas saya melihat Twitter Ketua Polis Negara, tidak lama kemudian polis menghubungi saya dan memaklumkan bahawa suami saya tidak diculik tetapi ditahan polis untuk siasatan.

"Kebiasaannya Ihsan pergi ke kedai pada 11 pagi dan pulang ke rumah pada 9 malam. Tetapi pada hari itu sehingga 9.30 malam Ihsan tidak pulang dan saya merasakan sesuatu terjadi kepadanya," katanya.

Ainnurul Aisyah berkata polis hanya membenarkan dia berjumpa Ihsan tetapi perlu membuat surat rayuan dan perlu menunggu sehingga Khamis ini.

"Hari ini saya telah melantik seorang wakil bagi menghantar surat rayuan untuk bertemu dengan suami saya kepada polis," katanya.

Ainnurul Aisyah berkata, suaminya tidak pernah terlibat dengan mana-mana kumpulan atau pertubuhan badan bukan kerajaan yang dikaitkan dengan keganasan.

"Ini terbukti apabila suami saya berada di rumah setiap hari Ahad dan tidak pergi ke mana-mana kecuali dia pergi ke pejabat untuk kerja.

"Dia seorang yang penyayang dan sangat rapat dengan anak-anaknya.Jika terdapat sebarang kesalahan atau bukti yang mengaitkan Ihsan dengan keganasan, saya berharap demi kepentingan anak-anak dia tidak dihantar pulang ke Turki serta diberi peluang untuk dibicarakan secara adil di mahkamah Malaysia," katanya.

Pada 2 Mei lepas, polis menahan warga Turki Ismet Ozcelik di Chenor, Pahang sehari selepas dua rakan senegaranya Turgay Karaman dan Ihsan Aslan ditahan di Damansara Height, Selangor kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti mengancam keselamatan negara ini.

Khalid berkata penahanan tiga individu itu saling berkait dan mereka disiasat di bawah Seksyen 130 Kanun Keseksaan.

Dalam pada itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Sabtu lepas berkata kerajaan tidak menolak kemungkinan untuk mengguna pakai program deradikalisasi ke atas tahanan warga asing yang dipercayai terlibat dengan gerakan ekstremis sebagai antara usaha untuk mengekang keganasan.

Beliau menegaskan untuk melaksanakan program itu ke atas warga asing, ia perlu mendapat kebenaran daripada negara terlibat terlebih dahulu.

Program deradikalisasi lazimnya untuk warga Malaysia yang ditahan kerana terlibat dalam  aktiviti berkaitan ekstremisme dan keganasan. -Bernama

pengganas, warga Turki, Ihsan Aslan

Artikel Lain