suria

Enam Dikait IS Ditahan

Polis sedang menjejaki Muhammad Muzaffa Arieff Junaidi berhubung dikaitakan dengan militan IS.

KUALA LUMPUR: Enam ditahan disyaki terlibat dalam aktiviti militan IS, termasuk dua kerana menyeludup senjata api untuk kegunaan kumpulan pengganas.

Empat lelaki dan dua wanita, berusia antara 26 dan 41 tahun ditahan Bahagian Anti Keganasan Cawangan Khas Bukit Aman menerusi operasi di lima negeri.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, penahanan pertama melibatkan dua lelaki di Kelantan pada 24 dan 25 Mac.

"Kita percaya mereka terlibat dalam penyeludupan senjata dari selatan Thailand untuk kumpulan pengganas," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Khalid berkata, seorang pelajar berusia 26 tahun ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4 April lalu selepas suspek pergi ke Turki pada 29 Ogos tahun lalu bagi menyertai kumpulan pengganas di Syria.

"Bagaimanapun, sementara menunggu arahan daripada militan Muhammad Wanndy Mohamed Jedi, suspek ditahan pihak berkuasa Turki pada 5 Februari lalu," katanya.

Khalid berkata, seorang lelaki berusia 41 tahun yang merupakan penganggur dan seorang wanita berusia 32 tahun yang bekerja sebagai pembantu jurutera kilang, masing-masing ditahan di Melaka dan Johor.

"Kita percaya mereka aktif mempromosikan kumpulan pengganas melalui aplikasi Google Plus," katanya.

Penahanan keenam membabitkan seorang lelaki berusia 41 tahun di Pulau Pinang pada 25 April lalu.

Suspek dipercayai mempromosikan IS menerusi 15 akaun Facebook sejak 2014.

Menurut Khalid, suspek turut dipercayai merancang untuk melancarkan serangan di masjid di Pulau Pinang.

Polis sedang menjejaki Muhammad Muzaffa Arieff Junaidi, 27, dari Kampung Gertak, Rantau Panjang di Kelantan.

"Kita percaya dia merupakan seorang lagi suspek bersama dua individu yang ditahan di Kelantan.

"Dia berjaya melarikan diri ke selatan Thailand bersama-sama senjata M4 Carbine dan pistol. Dia juga terlibat dalam aktiviti penyeludupan dari selatan Thailand," katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung suspek boleh menghubungi Inspektor Mohd Badri Othman di talian 011-26924829 atau ke balai polis berdekatan.

Artikel Lain