suria

Penjara Tak Halang Banduan Kes Bunuh Genggam Ijazah Kedua

Adam (bukan nama sebenar) ketika ditemubual oleh wartawan.

PETALING JAYA: Ketika disabitkan dengan kesalahan membunuh pada 2005, beliau adalah seorang remaja yang tidak berpendidikan, tetapi penjara benar-benar 'mengajarnya'.

Kini, beliau adalah seorang individu yang mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana dalam bidang Pentadbiran Perniagaan.

Adam (bukan nama sebenar), 30, telah menghabiskan lebih dari separuh hidupnya di penjara selepas didapati bersalah kerana membunuh pada usia 14 pada tahun 2001.

Beliau kini adalah banduan yang sedang menjalani hukuman sebagai Tahanan Limpah Sultan.

Bagi Adam, ilmu dan pendidikan telah memberikan harapan untuk beliau menebus kesilapannya yang lalu.

"Saya tak tahu bagaimana untuk meluahkan kegembiraan saya ketika ini dengan kata-kata, apabila ahli keluarga melihat saya dengan penuh rasa bangga.

"Dapat makan bersama ibu bapa dan adik-beradik yang lain adalah sesuatu yang sangat istimewa buat saya," katanya sebelum bermulanya Majlis Konvokesyen Universiti Terbuka Malaysia (OUM) kali ke-20 yang berlangsung di Dewan Canselor Universiti Malaya, Ahad.

Kali terakhir beliau melihat keluarganya adalah pada tahun 2007.

Adam berkata pengajiannya tidak akan berhenti setakat ini sahaja. Beliau bercadang untuk mengikuti pengajian di peringkat Doktor Falsafah (PhD).

Tetapi beliau mengakui bahawa perjalanan yang telah dilaluinya tidak mudah. Beliau tidak tahu apa yang patut dilakukan ketika mula-mula dihantar ke penjara.

"Sehinggalah seorang pegawai yang dipanggil Tuan Ajib menasihatkan saya jangan hanya tidur setiap hari dan melakukan sesuatu untuk diri sendiri.

"Sejak itulah saya membuat keputusan untuk belajar. Sedikit demi sedikit, saya belajar bersungguh-sungguh dan menduduki SPM pada tahun 2006 diikuti STPM dan ijazah saya," katanya.

Beliau berkata kehidupan di penjara adalah sangat mencabar dan memerlukan pengorbanan dan keazaman berterusan untuk memperbaiki diri sendiri.

"Dan saya tidak akan berhenti di sini. Seterusnya, saya mahu ambil PhD," katanya.

Beliau juga berharap untuk memulakan perniagaan sendiri jika dibebebaskan nanti.

"Saya mahu bantu ibu saya dan keluarga saya jika saya keluar nanti dan berbakti kepada masyarakat," katanya.


banduan, ijazah, kes bunuh

Artikel Berikut

PAS Tak Sombong

Artikel Lain