suria

Hadiah Lebih RM1 Juta Menanti Peserta Maraton Perlis

Azlan Man.

KANGAR: Hadiah berjumlah lebih RM1 juta menanti peserta Maraton Perlis 2017 pada Ahad ini, termasuk hadiah utama cabutan bertuah berupa sebuah kereta Peugeot 408 bernilai RM120,000 sumbangan syarikat Naza Automotif Manufacturing Sdn Bhd.

Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man berkata banyak lagi hadiah cabutan bertuah menarik disediakan untuk 12,500 peserta dari dalam dan luar negara yang telah mengesahkan penyertaan mereka pada perlumbaan kali ini.

Beliau berkata acara maraton kali ketiga itu mendapat sambutan luar biasa dengan melebihi sasaran awal 10,000 peserta berbanding penyertaan tahun lepas 8,000 orang, manakala pada 2015 seramai 5,000 peserta.

Beliau ditemui pemberita selepas menerima sumbangan daripada 11 penaja berupa kereta, motosikal, minuman bertenaga, madu, baju T dan wang tunai bernilai lebih RM1 juta pada satu majlis di Kompleks Sukan Negeri di sini, Jumaat.

Kira-kira 100 peserta luar negara antaranya dari Kenya, India, Singapura, Thailand, Perancis, Amerika Syarikat dan United Kingdom akan menyertai acara larian maraton penuh.

Perlumbaan itu mempertandingkan maraton penuh sejauh 42 kilometer (km), separuh maraton (21 km), 10 km dan 5 km untuk merebut hadiah wang tunai berjumlah lebih RM250,000. - BERNAMA

Azlan Man, maraton, Perlis

Artikel Lain