suria

JPN Tidak Pernah Lantik Ejen Bagi Pendaftaran Dokumen

PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menegaskan pihaknya tidak pernah melantik mana-mana individu atau ejen untuk mewakili jabatan itu dalam menjalankan kerja pendaftaran dokumen pengenalan diri di luar pejabat JPN.

Ketua Pengarahnya Datuk Mohd Yazid Ramli dalam satu kenyataan pada Jumaat berkata, JPN memohon kerjasama orang ramai untuk segera melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mereka ditawarkan dengan perkhidmatan sedemikian.

Merujuk kepada laporan akhbar mengenai penjualan dokumen pengenalan diri kepada warga asing, beliau berkata JPN memandang serius laporan berkenaan kerana ia melibatkan sindiket dokumen pengenalan diri utama rakyat Malaysia dan tergolong dalam dokumen keselamatan negara serta dakwaan ketua sindiket pernah bekerja di JPN.

Laporan bertajuk "MyKads On The Market" mendedahkan mengenai penjualan MyKad, dokumen kewarganegaraan dan Sijil Kelahiran palsu kepada warga asing oleh sindiket dengan bayaran antara RM4,500 hingga RM10,000.

Mohd Yazid berkata satu laporan polis telah dibuat oleh Pengarah Siasatan dan Penguatkuasaan JPN di Balai Polis Putrajaya pada Jumaat berhubung perkara itu.

Beliau berkata JPN juga sedang mengadakan siasatan dalaman secara terperinci yang meliputi anggota yang disyaki, proses-proses serta hal-hal yang berkaitan dengan sistem yang terlibat.

"Dalam hal ini, JPN tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang didapati menyalahi undang-undang dalam pengeluaran dokumen pengenalan diri baik ianya dari dalam ataupun di luar JPN," katanya.

Menurutnya, semakan yang dibuat oleh Pengarah JPN Negeri Melaka ke atas sekeping MyKad yang diperolehi dan dua surat permohonan warganegara, didapati kedua-duanya adalah palsu dan tiada dalam rekod jabatan tersebut.

Beliau menegaskan bahawa kesemua permohonan rekod pengenalan diri rakyat Malaysia diuruskan oleh JPN mengikut peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa di samping prosedur kualiti yang ketat dan sistem teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) yang selamat.

Pada masa sama, beliau juga menasihatkan individu atau institusi yang meragui ketulenan dokumen seperti Sijil Kelahiran, MyKad atau Sijil Kewarganegaraan untuk merujuk kepada JPN untuk semakan data dan pemeriksaan fizikal bagi mengesahkan kesahihan dokumen berkenaan. - BERNAMA

JPN, pendaftaran dokumen

Artikel Berikut

Artikel Lain