suria

Pelajar 15 Tahun Dipaksa Minum Racun

NILAI: Seorang pelajar lelaki dipaksa minum sejenis cecair dipercayai racun oleh sekumpulan pelajar dalam satu kejadian di pekan Nilai Lama di sini, Khamis.

Ketua Polis Daerah Nilai Supt Zaldino Zaludin berkata mangsa yang berusia 15 tahun itu dikatakan telah diberikan cecair itu dengan cara dipegang kaki dan tangan oleh kumpulan pelajar lelaki berkenaan dipercayai akibat menegur perbuatan mereka yang sedang menghidu gam.

"Selepas kejadian itu, mangsa dikatakan telah pergi berjumpa ibunya yang sedang bekerja dalam keadaan sakit perut dan muntah-muntah. Mangsa juga ada memberitahu ibunya bahawa dia telah dipaksa minum racun oleh sekumpulan pelajar di pekan Nilai Lama.

"Hari ini pelajar berkenaan telah mengadu mengalami sakit tekak dan perut dan dia kemudiannya dibawa ibunya ke Klinik Kesihatan Nilai dan mereka kemudian diarahkan ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban untuk rawatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini, Jumaat.

Zaldino berkata mangsa kini sedang dirawat di Zon Merah HTJ.

Menurut doktor yang merawat, kecederaan yang dialami mangsa adalah disebabkan oleh cecair yang diminumnya yang dipercayai racun serangga.

Katanya belum ada tangkapan dibuat setakat ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 328 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum 10 tahun dan juga denda. - BERNAMA

cecair racun, pelajar sekolah

Artikel Lain