suria

Puntung Selamat Jalani Pembedahan Gigi

KOTA KINABALU: Sepasukan pakar veterinar berjaya menyelamatkan nyawa badak sumbu Sumatera, Puntung yang mengalami masalah rahang bernanah sejak Mac lalu.

Menurut Jabatan Hidupan Liar Sabah, Puntung memberi tindak balas positif selepas selamat menjalani pembedahan mencabut dua gigi geraham dan satu gigi geraham kecil dari rahang atas kiri selama 140 minit yang bermula kira-kira pukul 7 pagi Rabu.

Haiwan itu sudah mula makan sejak lewat petang Rabu.

Namun proses Puntung untuk pulih sepenuhnya akan mengambil sedikit masa.

Pengarah Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga, berkata pembedahan itu dilakukan selepas perbincangan global dan kerjasama dengan pelbagai negara sejak dua minggu lalu.

"Kita menghargai usaha pasukan berkenaan yang berusaha melakukan tugas ini.

"Pasukan ini turut dibantu doktor haiwan dari Zoo Singapura, Dr Abraham Mathew serta Dr Johan Marais dan Dr Zoe Glyphis dari Afrika Selatan yang memulakan perancangan, nasihat, prosedur dan menyediakan sokongan kewangan bagi memastikan pembedahan boleh dilakukan," katanya.

Augustine berkata pihaknya dibantu Borneo Rhino Alliance (Bora) dan pasukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara dari Semenanjung.

Sementara itu, Dr Zainal Zainuddin mewakili Bora berkata mereka menarik nafas lega dan mengucapkan terima kasih kepada Dr Tum, pasukan doktor dari Afrika Selatan dan doktor pakar haiwan lain yang terlibat kerana berjaya memberi kehidupan baharu kepada Puntung.

"Menakjubkan, Puntung kini mula makan dalam tempoh dua jam selepas pembedahan tetapi kami masih belum selesai.

"Masih ada tempoh penjagaan selepas proses pembedahan yang bermakna kita perlu memastikan ia bersih, bebas daripada tekanan dan diberi ubat untuk melegakan kesakitan," katanya.

Artikel Lain