suria

Annuar Sudah Dimaklumkan Tarikh Beri Keterangan

Annuar Musa.

SIPITANG: Pengerusi Sementara Majlis Amanah Rakyat (Mara) Datuk Dr Yusof Yacob berkata pihaknya sudah memaklumkan kepada Tan Sri Annuar Musa tarikh untuknya memberi keterangan berhubung dakwaan penyalahgunaan kuasa termasuk berkaitan penajaan bola sepak Kelantan.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan tarikh Annuar akan tampil memberi keterangan di hadapan Jawatankuasa Audit Dalaman Mara.

"Ia telahpun diuruskan dan telahpun ada tarikh-tarikh yang telah ditetapkan (untuk Annuar beri keterangan). Tunggulah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan penutupan Program Usahawan Muda di SMK Padang Berampah di sini Rabu.

Pada 31 April lalu, Mara menggantung tugas anggota Parlimen Ketereh itu sebagai pengerusi Pelaburan Mara Bhd (PMB) berkuat kuasa serta-merta bagi membolehkan audit dalaman agensi itu menyiasat isu penajaan PMB dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) untuk pasukan bola sepak Kelantan.

Mengenai penjenamaan semula Yayasan Pelajaran Mara (YPM) kepada Yayasan Mara, Yusof berkata ia perlu dilakukan selaras dengan proses transformasi Mara dan transformasi kerajaan.

Katanya melalui penjenamaan semula itu, program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Mara akan lebih luas skopnya dan tidak terhad kepada aspek pendidikan sahaja.

"Dengan penjenamaan semula ini, batuan (CSR) bukan sahaja memberi tuisyen atau bantuan beg tetapi jika berlaku bencana alam, ada kejadian kebakaran, Mara akan turun padang (membantu)," katanya.

Mengenai program YPM pada Rabu, Yusof berkata seramai 200 pelajar dari empat buah sekolah menengah dan 18 buah sekolah rendah di sekitar daerah Sipitang menerima bantuan pelajaran berupa beg sekolah.

Katanya tahun lalu, 7,174 pelajar di Sabah menerima bantuan berkenaan berbanding 4,271 pada tahun 2015.

Menurutnya sejak 2013 hingga tahun lalu, sebanyak 21,122 pelajar di Sabah mendapat bantuan persekolahan seperti itu bernilai lebih RM2 juta. - BERNAMA

Annuar Musa, Mara, SPRM

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain