suria

Pegawai Polis, Isteri Maut Kemalangan

BALING: Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Baling dan isterinya maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan di Kampung Teluk Teduri di sini, Selasa.

Mangsa, Asisten Supritendan Mohd Noor Mat Yaub, 38, , isterinya Suriya Abdul Rahman, 37, seorang guru, meninggal dunia di tempat kejadian manakala empat anak mereka Irdina Aliah, 11; Insyirah Aliah, 10; Muhamad Adib Mustakim, 8, dan Imanina Aliah, 6, mengalami kecederaan dan kini di rawat di Hospital Baling.

Menurut laporan awal Bomba dan Penyelamat Baling, kejadian pukul 7.15 pagi itu berlaku apabila kereta jenis Toyota Passo yang dinaiki Mohd Noor sekeluarga sedang dalam perjalanan dari Kupang ke Baling.

Difahamkan, mangsa dalam perjalanan menghantar isterinya ke tempat kerja di Sekolah Kebangsaan Teluk Teduri.

"Sampai di tempat kejadian, mangsa yang ingin membelok ke kiri telah dilanggar oleh sebuah kereta jenis Honda City dari arah belakang dan menyebabkan kereta mangsa memasuki laluan bertentangan.

"Kereta mangsa telah melanggar sebuah kereta jenis Toyota Hilux yang dipandu Muhamad Ilyas Abd Razak, 32, yang berada di laluan bertentangan," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, identiti pemandu kereta Honda City yang melanggar kereta Mohd Noor masih belum dikenal pasti lagi.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Baling, Supt Sharifuddin Yusof yang dihubungi Bernama mengesahkan kejadian tersebut dan kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. -Bernama

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain