suria

Pengalaman Diculik Kumpulan Abu Sayyaf 17 Tahun Lalu Masih Segar Di Ingatan

Fong (duduk, tiga dari kiri) bersama rakyat Malaysia dan rakyat Filipina ketika ditahan kumpulan Abu Sayyaf di hutan Talipao.

SEMPORNA: Sepanjang 16 tahun lalu, pengajar selam Ken Fong akan melihat jam di tangannya setiap kali ia menunjukkan pukul 8 malam, pada tanggal 23 April.

Beliau akan melakukan perkara yang sama untuk kali ke-17 pada Ahad (23 April 2017).

"Saya masih ingat tarikh dan waktunya. Ia merupakan satu peristiwa besar dalam hidup saya. Saya akan melihat jam pada pukul 8 malam. Itulah masa kami diculik," kata lelaki berusia 44 tahun ini yang berpangkalan di Osaka.

Fong ketika itu sedang menikmati parti BBQ untuk meraikan hari Easter dengan pelancong asing di pulau Sipadan, salah sebuah destinasi menyelam terbaik di dunia, apabila diserbu kumpulan lelaki bersenjata Abu Sayyaf.

Mereka membawa lari Fong bersama lapan rakyat Sabah, dua pekerja resort Filipina dan 10 pelancong asing.

Ia adalah penculikan rentas sempadan yang pertama di Malaysia, melibatkan penduduk tempatan dan warga asing.

Fong tidak tahu apa yang berlaku pada masa itu.

"Saya takut dan keliru. Saya fikir ia adalah satu rompakan.

"Saya fikir mereka memaksa kami  masuk ke dalam bot supaya mereka boleh menggeledah resort," katanya.

Tetapi apabila bot itu meninggalkan pulau Sipadan, Fong menyedari ada sesuatu yang tidak kena.

"Saya rasa ia bukan satu rompakan.

"Beberapa jam perjalanan ke arah selatan Filipina, saya menyedari bahawa saya telah diculik," katanya.

Membandingkan apa yang berlaku di Sipadan dengan penculikan lain yang hampir sama, Fong berkata: "Kami bernasib baik. Ia lebih kepada operasi ketenteraan.

"Ia tidak menyebabkan trauma. Tidak ada ancaman untuk memenggal kepala kami," katanya.

Malah, The Star juga berjaya melawat tebusan ini sebanyak dua kali ketika mereka ditahan oleh Komander Robot dan Mujib Susukan di Talipao, pulau Jolo.

Fong masih ingat bagaimana beliau gembira dengan lawatan tersebut.

"Sekurang-kurangnya anda adalah rakyat Malaysia pertama yang dapat melihat kami dan memberikan maklumat kepada keluarga kami bahawa kami dalam keadaan baik," katanya.

"Pada masa itu, tentera Filipina yang telah mengejar penculik Abu Sayyaf dan berlaku pertempuran senjata dan apa yang kami mahu adalah rundingan damai untuk kami dibebaskan," katanya.

"Kami hanya mahu bebas. Apabila telah dibebaskan, ianya seperti mimpi, seperti bangun dari mimpi ngeri," katanya.

"Sekali atau dua kali dalam tempoh 16 tahun lalu, saya bermimpi masih menjadi tebusan," kata Fong.

Abu Sayyaf, mangsa culik

Artikel Sebelum

Artikel Lain