suria

Latihan Kemahiran Untuk Anak Autisme Lepasan Sekolah

PETALING JAYA: Ibu bapa yang mempunyai anak autisme sentiasa memikirkan cara untuk membantu anak istimewa itu membina kehidupan mereka sendiri.

Walaupun sesetengah kanak-kanak autisme berjaya menamatkan pembelajaran di peringkat sekolah rendah dan menengah, mereka yang melangkah ke universiti atau memasuki alam pekerjaan amat sedikit.

Presiden Persatuan Kebangsaan Autisme Malaysia (Nasom), Datuk Megat Ahmad Sharuni Megat Shahrudin berkata selepas menamatkan persekolahan, kebanyakan anak-anak autisme masih bergantung kepada ibu bapa atau ahli keluarga mereka.

"Ia dapat difahami mengapa mereka tidak akan mencuba dan mencari pekerjaan kerana mereka tidak mungkin kekal dalam satu-satu pekerjaan kerana ciri-ciri berkaitan autisme dan tidak ada latihan kemahiran," katanya.

Namun, terima kasih kepada usaha berterusan Nasom kepada golongan autisme yang akhirnya dapat melihat cahaya di hujung lorong.

Satu program perintis yang menawarkan latihan kemahiran teknikal dan vokasional untuk lepasan sekolah kepada golongan istimewa ini sedang dipertimbangkan Kementerian Belia dan Sukan.

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dalam ucapannya selepas The Rock Walk for Autism di sini pada Sabtu berkata beliau telah mengarahkan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) untuk bekerjasama dengan Nasom mengenai penstrukturan program tersebut.

"Buat masa ini persoalan besar adalah apa akan berlaku selepas sekolah, jadi idea ini untuk menyediakan mereka dengan latihan kemahiran.

"Saya meminta IKBN untuk berbincang dengan Nasom dan membangunkan program perintis untuk kanak-kanak dari gimnasium We Rock The Spectrum untuk mempelajari kemahiran vokasional," katanya.

Gimnasium We Rock The Spectrum di Evolve Concept Mall merupakan sebuah pusat permainan tertutup untuk kanak-kanak yang menghidap penyakit autisme.

Khairy berkata maklumat mengenai projek perintis itu masih belum dimuktamadkan tetapi beliau yakin ia merupakan langkah utama yang tepat.

autisme, KBS, Khairy Jamaluddin, Nasom

Artikel Berikut

Kek Nasi Lemak Tiana Kitchen

Artikel Lain