suria

Jamal, Sembilan Penyokong Didakwa Merusuh, Ganggu Keamanan

KUALA LUMPUR: Pemimpin Gerakan Baju Merah Datuk Seri Jamal Md Yunos dan sembilan penyokongnya didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang di sini atas dua pertuduhan melakukan rusuhan dan mengganggu keamanan tahun lalu.

Selain Jamal, sembilan penyokongnya yang turut didakwa adalah Reza Jamin, Ariffin Abu Bakar, Mohd Shabudin Abu Hassan, Izzrul Idris, Hasannen Zikri Harizan, Mohd Faiz Amirul Mahsan, Mohd Yusoff Mohd Sharif, Abd Razak Hassan dan R. Balaguru.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 (Akta 336).

Mereka mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Rushan Lutfi Mohamed pada Khamis.

Pengarah Pendakwaan Selangor Muhamad Iskandar Ahmad bagi pihak pendakwaan memohon mahkamah memberikan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin setiap seorang sementara kes selesai dibicarakan.

Peguam Izzat Zabir Sariff mewakili semua tertuduh.

Rushan Lutfi membenarkan semua tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin bagi setiap tertuduh.

Mahkamah menetapkan 3 Mei depan untuk sebutan semula kes itu.

Jamal Md Yunos

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain