suria

Aktivis Peter Chong Dikesan Masuk Thailand - Khalid

KUALA LUMPUR: Bekas ahli Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Peter Chong yang dilaporkan hilang sejak minggu lalu dikesan keluar dari negara ini melalui pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar mengesahkan pihaknya memperoleh gambar aktivis itu menyeberangi sempadan di Bukit Kayu Hitam menaiki bas.

Beliau berkata Chong dikesan masuk ke Thailand melalui pintu sempadan kira-kira pukul 6.30 pagi Jumaat lalu.

"Dia sekarang berada di Thailand. Kami tidak tahu apa niat dan tujuannya ke sana tetapi saya memberi amaran keras kepada mereka yang cuba mengelirukan orang ramai dengan menyifatkan dia diculik," katanya pada sidang media sempena Perhimpunan Bulanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Bukit Aman, pagi Rabu.

Menurut Khalid, PDRM turut bekerjasama dengan polis Thailand untuk menjejaki Chong di negara itu.

Katanya, tiada rekod menunjukkan Chong telah pulang ke Malaysia dari Thailand.

Beliau turut menasihati Chong supaya menghubungi keluarganya dan memaklumkan mereka mengenai keadaannya.

Chong yang berkhidmat sebagai pembantu peribadi kepada Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa sehingga 2015 dilaporkan hilang sejak minggu lalu.

Peter Chong, hilang, Thailand

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain