suria

Siasat Dakwaan Pindahan Dana Ke Korea Utara - Nur Jazlan

Nur Jazlan Mohamed.

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed menegaskan Malaysia perlu menyiasat dakwaan ketua eksekutif sebuah konglomerat Malaysia didakwa menyalurkan wang kepada kepimpinan Korea Utara.

Pada Isnin, Reuters memetik seorang pembelot Korea Utara Lee Chol-ho sebagai berkata Han Hun-il, pengasas dan ketua eksekutif Malaysian Korea Partners (MKP) menyalurkan wang kepada kepimpinan di Pyongyang sejak lebih dua dekad.

Cawangan bank MKP di Pyongyang turut disiasat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenai larangan syarikat asing atau kerjasama asing dengan firma Korea Utara memiliki cawangan kewangan di negara itu.

Nur Jazlan berkata dakwaan tersebut menjejaskan reputasi Kuala Lumpur sebagai pusat kewangan.

Beliau pada masa sama menggesa Bank Negara untuk menyiasat jika terdapat sebarang penyalahgunaan dalam sistem perbankan negara.

"Kita perlu siasat sekiranya antara lain Korea Utara menggunakan hubungan dengan Malaysia sebagai saluran untuk melakukan kegiatan haram," katanya.

Bank Negara masih belum memberi maklum balas kepada Reuters berhubung permintaan untuk mengulas mengenai perkara itu.

Nur Jazlan berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga perlu menjalankan siasatan mereka terhadap MKP dan Han untuk menentukan sama ada jenayah telah dilakukan.

Bulan lalu, Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata pihak berkuasa akan membantu PBB dalam siasatan terhadap MKP.

Pada Februari lalu, Reuters melaporkan agensi perisikan Korea Utara telah menjalankan operasi eksport senjata keluar dari Malaysia.

Nur Jazlan Mohamed, Korea Utara

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain